NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa 2024/2025 (AKSIS 24/25) bertempat di Dewan Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM pada 7 Julai 2026 baru-baru ini.
Penganjuran program kali ke-14 ini merupakan salah satu cara pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada individu atau organisasi terhadap kejayaan dalam pengurusan organisasi dan pelaksanaan program atau aktiviti mahasiswa.
Datuk Dr. Hassan Bahrom, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa USIM merupakan sebuah universiti yang berteraskan prinsip – prinsip Islam dan nilai – nilai integriti yang terus berusaha dalam membentuk mahasiswa yang holistik dan berimpak tinggi pada masyarakat.
“Di sini, USIM bukan sahaja menekankan pentingnya kecemerlangan akademik, tetapi juga pembinaan sahsiah, karakter, dan keperibadian yang baik. Kami percaya bahawa kejayaan yang sebenar adalah kejayaan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.” Katanya.
Sementara itu, Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani, dalam ucapan aluannya menekankan kepentingan penganjuran AKSIS 24/25 di mana dapat mengiktiraf dan menghargai bakat dan potensi pelajar dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Pengiktirafan seperti ini amat penting bagi meningkatkan minat pelajar untuk terlibat dalam program – program berbentuk kepimpinan, kesukarelawanan, dan inovasi. Ia adalah satu penghormatan kepada usaha keras, dedikasi, dan sumbangan mahasiswa yang bukan sahaja mengharumkan nama USIM, tetapi juga menyumbang kepada masyarakat secara menyeluruh.” Katanya.
Dato’ Naib Cancelor juga sempat menyentuh sedikit tentang pelancaran Kempen 1 Ringgit, 1 Alumni yang merupakan sebuah inisiatif Pusat Kerjaya dan Alumni (PUSAKA) bertujuan membudayakan amalan menyumbang secara berterusan dalam kalangan alumni USIM.
“Melalui penganjuran kempen ini, setiap sumbangan yang dikumpulkan walaupun serendah satu ringgit, ia berpotensi memberikan impak besar apabila dilakukan secara kolektif dan konsisten. Dana yang terkumpul juga akan disalurkan melalui Tabung BUDI Alumni USIM untuk menyokong kebajikan pelajar, program infak, serta pembangunan universiti.” Katanya lagi sebelum mengakhiri ucapannya.
Bersempena sambutan tersebut, majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada penerima terpilih bagi beberapa kategori iaitu kategori individu sebanyak 11 anugerah, 1 anugerah kategori pasukan, 2 anugerah penghargaan khas dan Anugerah Tokoh AKSIS sebagai anugerah utama yang dipertandingkan.
Bagi Anugerah Tokoh AKSIS, telah dianugerahkan kepada Saudara Haikal Nazhan Hamdan,23, mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM Sesi Akademik 2024/2025, sebagai penghargaan atas sumbangan dan komitmen beliau dalam kepimpinan mahasiswa.
Saudara Haikal Nazhan yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik melahirkan rasa syukur dengan kejayaan ini dan menujukan kejayaan ini buat ibunya selaku sumber inspirasi utamanya sepanjang bergelar mahasiswa USIM.
“Inspirasi saya untuk mencapai kejayaan ini adalah ibunda dan keluarga saya sendiri yang tidak pernah jemu memberikan sokongan.
Selain itu, kejayaan Saudara Najmi Adli sebagai Tokoh Wira Bicara Siswa serta kejayaan Saudara Shamsul Aiman Muammar sebagai Finalist Tokoh Siswa Negara turut memberi inspirasi saya untuk mencapai kejayaan dalam kepimpinan dan kesukarelawanan mahasiswa.” Katanya.
Dalam masa yang sama juga, Saudara Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini, 24, turut merangkul dua anugerah sekaligus iaitu Anugerah Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa dan Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa. Beliau yang merupakan mantan Presiden Kelab Multimedia dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique) USIM menzahirkan rasa teruja dan bersyukur dengan dua anugerah yang diperolehi.
Beliau turut berpesan bahawa adab yang baik merupakan suatu kewajipan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian bagi setiap individu kerana setiap kejayaan yang datang merupakan hasil daripada usaha, disiplin dan adab yang terpuji.
“Jadilah diri sendiri dan bawalah nilai Muslim yang sejati, adab disiplin, dan jangan berkira dengan orang lain. Kerana Allah SWT akan bantu kita dalam semua aspek bahkan pada perkara yang kita tidak sangkakan.” Pesannya lagi buat semua mahasiswa USIM terutamanya.
Penganjuran AKSIS 24/25 ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada individu atau organisasi tetapi juga turut memberi kesedaran dan motivasi serta peluang kepada para mahasiswa untuk mengetengahkan potensi dan mengembangkan bakat yang ada pada diri untuk menjadi insan yang cemerlang.
Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin, Siti Nur Insyiraah Sh Hussin, Fatin Nur Atiqah Mokhtar


