KUALA LUMPUR – Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) Urusetia Kesenian Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melakar sejarahnya yang tersendiri apabila merangkul tempat ketiga dalam Festival Teater Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) pada 8 Julai yang lalu.

ATRA mementaskan teater bertajuk “PREH” berkisarkan cerita sebuah keluarga di Acheh yang dilanda Tsunami dengan membawa mesej yang sarat dengan teladan, konflik cinta dan keluarga serta kasih sayang ibu yang merindui anaknya dan penerapan nilai- nilai murni dalam Islam  selari dengan imej USIM sendiri.

Menurut Pengarahnya , Auni Sujan berkata, beliau amat bersyukur di atas kemenangan yang diperolehi serta mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mementaskan teater PREH.

“Saya berharap agar kami dapat mempersembahkan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang dan berdoa agar kumpulan ini akan terus cemerlang melakar kejayaan,” tambahnya lagi.

Manakala Pengurus Produksi, Tengku Faizah Tengku Yusop menyifatkan kemenangan ini adalah berkat doa semua pihak serta kerjasama yang tidak berbelah bahagi dari setiap ahli ATRA.

“Saya melihat kumpulan produksi tahun ini sentiasa menyokong antara satu sama lain dan ini merupakan kunci sebenar kejayaan ATRA. Tanpa kerjasama yang erat diantara ahlinya, ATRA tidak mungkin mampu mementaskan PREH dengan jayanya,” tambahnya lagi.

ATRA telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM1500 beserta piala dan sijil penyertaan.

Selain itu, ATRA turut memenangi anugerah pelakon pembantu wanita terbaik menerusi lakonan Nurnadhirah Azkah dan turut tercalon bagi anugerah set dan props terbaik serta muzik dan lighting terbaik.

Menurut tenaga pengajar ATRA, Encik Mohd Ariff Taslim menyifatkan kemenangan yang diperoleh anak didiknya terbalas hasil usaha gigih serta disiplin mereka dalam menjalani latihan yang berterusan selama dua bulan.

“Saya percaya akan kebolehan mereka yang tersendiri dalam mementaskan PREH, walaupun kesemua mereka bukan berlatarbelakangkan pendidikan sastera dan seni. Apatah lagi USIM telah berjaya mengalahkan IPTA yang mempunyai fakulti seni dan ini membawa kepada kemenangan yang lebih bermakna ” ujarnya lagi.

Semoga pementasan akan terus subur di USIM kerana teater merupakan medium yang terbaik dalam memaparkan mesej dakwah dengan lebih berkesan dan mudah dihayati oleh khalayak sarjana.

Oleh :
EB Kuza Yusof