NILAI – Usaha menjadikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai kampus yang lebih inklusif dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) terus diperkukuh melalui penganjuran Bengkel Audit Aksesibiliti Kemudahan OKU bagi Bangunan Perpustakaan Induk USIM.

Program selama dua hari pada 28 dan 29 April 2026 itu dianjurkan oleh Perpustakaan USIM dengan penyertaan seramai 15 peserta terdiri daripada Jawatankuasa Perpustakaan Mesra OKU, staf perpustakaan, Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum serta Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti.

Bengkel ini menjadi langkah penting dalam menilai tahap kemudahsampaian bangunan Perpustakaan Induk USIM, selain menyediakan asas kepada penambahbaikan fasiliti agar lebih mesra, selamat dan mudah diakses oleh warga OKU pada masa hadapan.

Penganjuran bengkel turut melibatkan kepakaran daripada Dr. Nur Amirah Abd Samad, Penyelaras Siswazah Seni Bina Penyelidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersama fasilitator Prof. Madya Dr. Nurul Syala Abdul Latip, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, USIM.

Antara pengisian bengkel termasuk pengenalan kepada MS1184, pemahaman reka bentuk sejagat mengikut tipologi bangunan, simulasi penggunaan peralatan audit, perkongsian amalan baik aksesibiliti, audit akses secara lapangan di Bangunan Perpustakaan Induk USIM serta penyediaan laporan audit aksesibiliti.

Ketua Jabatan Perpustakaan USIM, Dr. Mohd Helmi Masor @ Mansor berkata, audit aksesibiliti perpustakaan bukan sekadar usaha memenuhi keperluan teknikal, malah mencerminkan nilai universiti sebagai institusi yang inklusif dan prihatin terhadap semua komuniti.

Menurut beliau, perpustakaan sebagai pusat ilmu perlu dapat diakses oleh semua lapisan warga universiti termasuk golongan OKU, selaras dengan hasrat USIM untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih adil dan menyeluruh.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, Dr. Fatimah Mohd Tawil menyifatkan penganjuran bengkel tersebut sebagai usaha advokasi yang signifikan dalam memperkasakan komuniti OKU di peringkat universiti.

Beliau berkata, inisiatif julung kali dilaksanakan di USIM itu juga selari dengan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di Institusi Pendidikan Tinggi yang dilancarkan pada tahun 2019, khususnya dalam memastikan keperluan warga OKU diberi perhatian secara lebih menyeluruh.

Ketua Pustakawan USIM, Datin Nor Azzah Momin pula merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel berkenaan dan menegaskan bahawa usaha ini merupakan persiapan penting ke arah menjadikan Perpustakaan USIM sebagai perpustakaan mesra OKU.

Katanya, inisiatif tersebut diharap dapat menjadi contoh kepada perpustakaan lain dalam menyediakan ruang ilmu yang lebih inklusif, responsif dan menyantuni keperluan pengguna daripada pelbagai latar belakang.

Pelaksanaan bengkel ini turut menyokong aspirasi USIM dalam memperkukuh budaya ilmu yang berpaksikan nilai ihsan, keadilan dan keterangkuman, sekali gus memastikan akses kepada ilmu tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja, tetapi dapat dinikmati oleh semua warga universiti.

Oleh: Nik Nur Aein Nik Hud