NILAI – Majlis Serah Menyerah Jawatan Kompeni Sarjan Mejar Jurulatih (KSMJ) Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berlangsung dengan penuh istiadat dan tertib, mencerminkan kesinambungan amanah, disiplin serta kepimpinan dalam struktur latihan ketenteraan pasukan pada 26 April 2026 baru-baru ini.
Majlis serah menyerah ini bukan sekadar proses pentadbiran, sebaliknya menjadi simbol penting dalam memastikan kesinambungan kepimpinan, disiplin dan kecemerlangan latihan dalam pasukan terus dipelihara. Peranan KSMJ sebagai antara tonggak utama dalam pelaksanaan latihan dan pembentukan sahsiah Pegawai Kadet menjadikan peralihan jawatan ini sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.
Selaras dengan aspirasi USIM dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli, majlis ini turut mencerminkan keseimbangan antara kecemerlangan profesional, pembentukan nilai sahsiah dan pengukuhan budaya kepimpinan berteraskan amanah. Ia memperlihatkan komitmen PALAPES USIM dalam melahirkan warga pasukan yang berdisiplin, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
PW II Mohd Riduan Razeme, KSMJ dalam ucapannya menegaskan bahawa setiap amanah yang dipikul perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan integriti.
Beliau turut menasihatkan seluruh warga pasukan agar sentiasa menjaga diri, memperkukuh semangat kerjasama khususnya bersama kepimpinan baharu, serta terus meningkatkan ilmu pengetahuan bagi menghadapi cabaran latihan dan penugasan dengan lebih berkesan.
“Setiap permulaan pasti akan menemui pengakhiran. Justeru, setiap detik perkhidmatan perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan penuh dedikasi, disiplin dan rasa tanggungjawab terhadap pasukan”, ujarnya lagi.
Ketibaan Ketua Jurulatih kemudiannya disambut dengan tabik hormat oleh perbarisan, diikuti nyanyian lagu Latihan Teras Keyakinan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara menandatangani Buku Serah Menyerah antara KSMJ, PW II Mohd Riduan Razeme, dengan Pemangku KSMJ, Sjn Mohd Fahmi Daud, sebagai simbol rasmi penyerahan tanggungjawab dan amanah kepimpinan dalam pasukan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan oleh Ketua Jurulatih Mej Noor Efendy Hj Samih kepada PW II Mohd Riduan Razeme atas jasa, komitmen dan sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai KSMJ PALAPES USIM.

