NILAI, 24 OGOS 2015 – Kumpulan nasyid USIM yang dikenali dengan nama Intracksee tampil beraksi di pentas Pertandingan Nasyid Ihtifal IPT ASEAN 2015. Dengan memperjuangkan lagu baharu mereka iaitu #BEBAS, Intracksee mencipta tuah baharu dek berjaya merangkul anugerah Naib Johan dalam pertandingan kali ini.

Kesungguhan mereka dalam memperjuangkan irama kesyahduan Islam nasyid jelas kelihatan apabila kumpulan ini tampil dengan persembahan berbeza dengan kumpulan yang lain.

Kumpulan Intracksee, Urus Setia Kesenian Pelajar yang dibimbing oleh Huzaimi Nowseeheart dan Juhairee Pegawai Kebudayaan USIM tampil berbeza dengan props seakan-akan penjara menggambarkan mesej moral seiring dengan fokus lirik dan seni kata lagu dendangan mereka iaitu #BEBAS. Lagu ini memberi pesanan serta kesedaran kepada hamba yang dihimpit dosa dan noda kepada Pencipta, lantas mahu lari dan membebaskan dirinya dari terus dibelenggu dosa yang lalu.

Menurut Fauzi Marzuki  merangkap ketua juri berkata, lagu #BEBAS ini sangat menarik kerana  melodinya segar dan mudah diikuti oleh pendengar.

Walaupun rezeki untuk bergelar Johan dalam pertandingan ini tidak berpihak buat mereka, namun ianya diterima dan disahut oleh mereka sebagai pembakar semangat serta menjadi ukuran untuk terus bergiat dan menjadi yang terbaik di masa hadapan, ujar Rahimi  yang merupakan ketua bagi kumpulan Intracksee.

Kumpulan ini pernah merangkul Johan Pertandingan Nasyid Ihtifal IPT ASEAN pada tahun 2013 dan menewaskan 11 kumpulan lain.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Canselor USIM pada Majlis Penutupan Ihitifal IPT ASEAN dengan  membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta piala iringan serta sijil penyertaan.

Disediakan oleh:

Ejen Berita (EB Muhamad Arif  Che’ Soh), Pusat Kebudayaan USIM

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204