NILAI, 28 Januari 2022- “Beramal, Bertakwa” menjadi tema Majlis Amanat Naib Canselor tahun 2022 yang diadakan secara hibrid bertempat di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan turut disiarkan melalui platform Youtube USIMTV.

Majlis yang dimulakan dengan bacaan Ayat Al-Quran dari surah terpilih serta video ‘recap’ pencapaian bagi tahun 2020 dan 2021, turut dihidupkan dengan imbasan Lima Teras Strategik yang bermatlamat untuk menjadikan USIM sebuah Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi menjelang 2022.

Teras tersebut yang pertama adalah Graduan dan Alumni: melahirkan graduan/alumni yang profesional berintegriti, kompeten dan berdaya saing. Kedua, Pelajar: Membentuk pelajar yang beradab, holistik dan seimbang. Ketiga, Libatsama Masyarakat: Memperkasakan Quintuple Helix untuk semua. Keempat, Kelestarian Kewangan: Membentuk kepelbagaian sumber dana dan amalan perbelanjaan berhemah, dan kelima, Pengiktirafan: Membentuk kesarjanaan berimpak yang membina kebitaraan ummah.

Melalui 5 Teras Strategik ini, USIM menetapkan komitmen utama (2FCSI) iaitu untuk mengukuhkan asas fundamental USIM (strengthen fundamentals), untuk merangka masa hadapan (chart future), memastikan keberdayasaingan dan kelestarian (ensure competitiveness & sustainability) dan mempromosikan inklusiviti (promote inclusivity).

Secara tuntasnya juga, tema tahun ini merupakan pelengkap kepada siri-siri tema amanat sebelum ini yang menyentuh berkenaan konsep berilmu (2020), berdisiplin (2021) dan yang terkini, bertakwa (2022) yang mana ketiga-tiganya merupakan moto USIM.

Justeru, pada tahun ini, Prof. Dato’ Dr. Ridza mengumumkan sembilan lagi sasaran sebagai pelengkap kepada Misi Tahun 2022 USIM iaitu Pertama: Pemerkasaan Agenda MyDigital dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM) (Think-Tank-Do) melibatkan pihak berkepentingan termasuk Sekolah Angkat dan Sekolah Kluster USIM dengan mengguna pakai pendekatan quintuple helix.

“Kedua, pelaksanaan One-Stop Centre @ Kolej Kediaman 1 yang dilaksanakan untuk pelajar, oleh pelajar dan kepada pelajar (dan pelawat). Ketiga, Hospital Pengajar USIM, yang bakal dibina melalui Model Perkongsian Swasta-Awam baharu yang akan dilaksanakan untuk merealisasikan fasa pertama hospital pengajar”.

“Keempat, Pemantapan Servis Kaunter bagi menambah baik mutu perkhidmatan yang ditawarkan oleh USIM.

“Kelima, pelaksanaan Program Micro-credential yang merupakan kerjasama dengan pihak ketiga untuk mengimplementasikan kelayakan mikro sebagai sebahagian daripada Smart University Blueprint USIM yang diletakkan di bawah kluster SMART Learning: (1) (Certified Recovery Coach) dan (2) Certified Fluency in Arabic Language for Understanding the Holy Quran.

“Keenam, Kemaskini Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) untuk menerima pakai dan menyesuaikan strategi atau kerja dengan lebih pantas dan seterusnya disepadukan dengan Pelan Tindakan Pembangunan Pelajar (ISDA).

Sasaran yang ketujuh adalah Kerjasama USIM-USTY iaitu satu kerjasama strategik di antara USIM dengan University of Science and Technology, Yemen bagi mendapatkan kepakaran profesional serta meningkatkan enrolmen pelajar Antarabangsa dari Timur Tengah”.

“Kelapan, Pembinaan Surau Tamhidi yang dibina melalui crowd funding dan sumber dalaman universiti serta sasaran yang kesembilan, Insentif Skim Guru Bahasa/Guru Tamhidi bagi meningkatkan motivasi staf dalam skim tersebut.

“Diharapkan sembilan amanat yang telah digariskan ini dapat dilaksanakan dengan kerjasama daripada semua pihak” ujarnya lagi.

Dalam majlis yang sama, Prof. Dato’ Dr. Ridza turut menyampaikan Anugerah Khas Naib Canselor kepada dua (2) buah Pusat Tanggungjawab (PTj) yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang tahun 2021. Pada tahun ini, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Jabatan Perpustakaan telah terpilih sebagai penerima anugerah tersebut dan membawa pulang hamper, plak dan sijil penghargaan.

Dilaksanakan secara hibrid, Majlis Amanat Naib Canselor ini turut dihadiri oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Tan Sri Hj. Musa Tan Sri Hj. Hassan, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, YBhg. Hj. Mohd Nazree Hj. Mohd Yunus serta rakan2 strategik USIM.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan