NILAI, 28 Nov 2016 – Dua produk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Global Zakat Game : Bijak Zakat (GzakatG V1.0) dan Modul Penganjuran Sukan dan Peraduan Patuh Syariah yang dipertandingkan di International Exposition on Shariah Compliant Idea, Invention, Innovation and Design (ISCIIID) 2016 pada 21 dan 22 November lalu di Grand Blue Wave Hotel, Shah Alam mendapat pingat emas dan Anugerah Umar Al-Khattab (Produk Terbaik Profesional/Akademik) serta Anugerah Abu Bakar As-Siddiq (Produk Terbaik Keseluruhan).

GzakatG V1.0 adalah sebuah inovasi baru yang berbentuk permainan ilmiah berkaitan fiqh zakat. Ia direka bagi mengukuhkan kemahiran pengiraan zakat harta dalam kalangan amil dan muzakki meliputi pelbagai jenis zakat seperti zakat pendapatan, pertanian, penternakan serta emas dan perak pada masa yang sama melahirkan amil yang profesional dan cekap dalam aspek pengurusan zakat.

produk-permainan-gzg img_1463

“Kami percaya produk ini mampu menarik perhatian masyarakat kerana ciri-ciri istimewa dan kelainan yang dibawa berbanding dengan produk lain. Produk ini juga boleh dijadikan sebagai alat bantu mengajar interaktif di sekolah, universiti dan kursus pemerkasaan amil zakat,” ujar Prof Madya Dr Azman Ab Rahman yang merupakan pengasas produk dan pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Selain itu, kumpulan yang turut diketuai Prof Azman juga mendapat emas bagi Produk Modul Penganjuran Pertandingan Sukan dan Peraduan Patuh Syariah.

Ia diperkenalkan bagi memastikan setiap pertandingan yang dianjurkan mematuhi prinsip syariah dan memberi pendedahan kepada atlet, jurulatih serta masyarakat tentang konsep bersukan patuh syariah.

“Melalui modul ini ia menyediakan cadangan garis panduan kepada pihak penganjur untuk mengadakan pertandingan yang patuh syariah dan penganjuran sukan yang menepati syarak serta dilengkapi dengan modul komprehensif,” tambahnya.

“Kami mengharapkan supaya GzakatG V1.0 dan Modul Penganjuran Sukan dan Peraduan Patuh Syariah dapat dikomersialkan secara meluas kepada golongan sasaran supaya masyarakat luar dapat menerima manfaat dari produk inovasi ini,” katanya lagi.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204