NILAI, 13 Jun 2021 – Pandemik Covid-19 telah mengubah norma Pendidikan Khas negara khususnya dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Bagi menyokong usaha kerajaan membendung pandemik melalui pendekatan integrasi Naqli dan Aqli, Sekretariat Sahabat FAQEH Universiti Sains Islam Malaysia (SaF USIM) Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Kempen Sejuta Istighfar@OKU BERISTIGHFAR.

Selain usaha menitikberatkan penjagaan SOP, misi membawa kesedaran masyarakat khususnya penglibatan OKU dalam usaha menjaga hubungan insan dengan Tuhan turut ditekankan. Ini kerana kefahaman bahawa covid-19 itu juga adalah makhluk Allah perlu diimani secara teori dan praktikal. Ia datang dan akan pergi atas perintah Allah.

Kempen ini merupakan antara usaha menyokong pendekatan Twin-Track oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), iaitu ke arah mengupaya masyarakat dan memperkasa komuniti OKU. Kempen ini turut mendapat sokongan lebih 30 agensi yang terdiri daripada Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) OKU, agensi swasta dan Sekolah-sekolah Pendidikan Khas.

Menurut Dr Siti Fatimah Mohd Tawil selaku penyelaras SaF USIM, peranan SaF USIM sebagai sekretariat mahasiswa cakna OKU (MCO) adalah untuk menjadi nadi penggerak atau wasilah kepada kempen dan aktiviti Dakwah OKU. Oleh kerana program-program yang dirancang secara fizikal dan tertangguh disebabkan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka kempen ini diteruskan secara dalam talian.

“Ia bertujuan sebagai ikhtiar insani agar diangkat wabak Covid-19 dari bumi Malaysia khususnya dan dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan hidup sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Di samping itu, kempen ini turut memberi pendedahan dan melatih OKU dengan rutin istighfar berasaskan kekuatan dan kelainan upaya OKU. Amalan Istighfar ini merujuk kepada usaha mohon keampunan Allah SWT atas segala kesalahan kita sebagai hamba-Nya. Bacaannya adalah ‘Astaghfirullahal Azim’”.

Manakala bagi Muhammad Nabil Mohd Firdaus selaku pengerusi SaF USIM berkata, kempen ini diadakan selama 10 hari bermula 10 hingga 20 Jun ini. Keunikan kempen ini adalah dengan wujudnya pendaftaran peserta dan aplikasi khas, iaitu Apps OKU Berdoa bagi membolehkan para peserta membuat kiraan jumlah istighfar mereka secara kendiri dan kiraan jumlah keseluruhan istighfar secara komulatif. Pembangunan Apps OKU Berdoa ini ditaja oleh Syarikat AQWise Sdn. Bhd. Bagi komuniti OKU Pekak, video khas panduan beristighfar dirakam bertujuan membimbing komuniti istimewa ini berasaskan medium komunikasi mereka, iaitu Bahasa Isyarat Malaysia. Selain itu juga, sepanjang kempen ini berlangsung, poster 1 hari 1 Hadis berkaitan keistimewaan beristighfar turut disebarkan.

Tambahnya, para peserta boleh memilih pakej istighfar dalam borang pendaftaran Google Form semasa mendaftar. Mereka boleh memilih 4 pakej yang diberikan, iaitu pakej pertama 30 Istighfar, pakej kedua 50 Istighfar, pakej ketiga 70 Istighfar dan pakej keempat 100 Istighfar yang dibaca setiap selesai Solat Fardu lima waktu selama 10 hari.

Sehingga hari ini sebanyak 1,309,000 jumlah Istighfar telah direkodkan dari 485 orang peserta.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan