NILAI – Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg Profesor Dr. Jalani Sukami menjadi individu perintis apabila dipilih untuk menyampaikan Syarahan Perdana USIM yang julung kalinya diadakan di universiti ini.

Syarahan bertajuk Malaysian Oil Palm Industry: Contribution, Challenges and Future Prospects yang disampaikan oleh beliau membincangkan tentang perihal industri sawit di negara ini dalam menghadapi isu-isu serta cabaran terutamanya di alaf ini.

Anak kelahiran Muar, Johor ini dilahirkan pada tanggal 7 Julai 1945.  Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Muar dan kemudiannya menyambung pengajian di Universiti Malaya dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pertanian pada tahun 1970. Sebagai seorang yang berfikiran dinamis, beliau kemudiannya menyertai kumpulan penyelidikan Profesor JP Moss di University of Reading, United Kingdom dan telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Genetik Tumbuhan.

Seawal usia 28 tahun, beliau merupakan salah seorang pemegang ijazah kedoktoran termuda di Malaysia dan kemudiannya mengorak langkah serta membina kerjaya sebagai ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1974. Sebagai seorang saintis, beliau telah menimba banyak pengalaman berguna, berkhidmat di makmal universiti terkemuka dunia di Iowa State, Harvard, Yale dan Cornell, di mana beliau telah menjelajah ke lebih daripada 70 buah negara demi mendalami ilmu sains.

Pada tahun 2004, beliau telah menyertai USIM sebagai Pengarah pengasas Pusat Tamhidi dari Januari 2004 sehingga Jun 2008 dan beliau kini merupakan Dekan pengasas Fakulti Sains dan Teknologi, USIM sejak Jun 2003.

Kemajuan kerjaya cemerlang yang ditunjukkan oleh beliau telah berjaya memecahkan pemikiran lama yang menjadi penghalang kemajuan sedia ada sekaligus menjadi seorang penyelidik penuh daya saing dan sangat komited terhadap kemajuan sains dan teknologi di Malaysia.

Beliau merupakan individu contoh yang bukan sahaja telah membuktikan kemampuan untuk memikul pelbagai tanggungjawab pada satu masa, malah menunjukkan kebolehan memikul amanah dengan sama rata. Kejayaan beliau seharusnya dijadikan inspirasi kepada rakan sejawatan dan kepada komuniti sains secara amnya dan ianya menjadikan beliau sebagai qudwah hasanah (contoh ikutan) serta sumber inspirasi kepada mereka yang ingin mengikut jejak kejayaan tersebut.

Program Syarahan Perdana USIM yang bertujuan untuk membina budaya wacana akademia dalam bidang kepakaran ini juga antara lain adalah untuk memberi peluang kepada ahli-ahli akademik untuk berkongsi kepakaran serta meningkatkan tahap kesarjanaan di kalangan mereka.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa