Pembelajaran yang melibatkan kemahiran menghafal Al-Quran adalah satu cabaran besar yang memberi penekanan kepada disiplin diri, daya ingatan dan teknik mengingat yang sistematik. Lazimnya, kebanyakan institusi tahfiz cenderung untuk mengamalkan teknik tipikal bagi menghafal Al-Quran, iaitu melalui teknik pengulangan pada ayat Al-Quran menggunakan mushaf Quran.

Kumpulan penyelidik diketuai oleh Ts. Dr Zulkifly Mohd Zaki dari di Fakulti Sains & Teknologi (FST) USIM, memperkenalkan inovasi baru yang diberi nama ”EzHifz: Quran Memorization Mobile Application” iaitu aplikasi hafalan Al-Quran yang direka bentuk dengan elemen kandungan multimedia yang mengintegrasikan teknik mengingat dan gaya pembelajaran VARK ( Visual, Auditory, Reading, Kinesthetic) yang menyokong penggunaan kepelbagaian pancaindera. Aplikasi ini merupakan gabungan adaptasi teori kognitif pembelajaran multimedia dan model gaya pembelajaran VARK. Ini menjadi asas kepada pembentukan kandungan aplikasi tersebut.

Teknik menghafal yang digabungkan dengan gaya pembelajaran VARK membantu proses hafalan Al-Quran dengan lebih lancar. Antara ciri-ciri unik daripada aplikasi ini adalah pengguna bebas memilih gaya pembelajaran VARK mengikut kecenderungan masing-masing untuk menghafal Al-Quran dan menyemak status prestasi hafalan mereka. Kandungan aplikasi ini fleksibel bagi pengguna untuk memilih daripada mana-mana kombinasi gaya pembelajaran VARK sama ada secara uni-modality atau multi-modality.

Ts. Dr Zulkifly berkata, “walaupun pelbagai penyelidikan mengenai kaedah dan teknik yang berkesan dalam hafalan Quran diperkenalkan, masih terdapat masalah untuk huffaz menghafal, mengingat dan mengekalkan ingatan”.

”Kajian ini membuktikan bahawa penggunaan teknologi multimedia pada aplikasi mudah alih menunjukkan respon yang positif dalam kalangan generasi muda, terutamanya peningkatan motivasi di dalam menghafal Al-Quran”.

Menurut Ts. Dr Zulkifly lagi, terdapat pelbagai aplikasi hafalan Al-Quran dalam pasaran yang diperkenalkan untuk memudahkan kaedah penghafalan Al-Quran, namun kebanyakan aplikasi ini tidak dapat menyokong perbezaan individu dalam gaya pembelajaran VARK yang menggabungkan teknik-teknik menghafal yang berkesan.

Inovasi ini berjaya merangkul pingat Emas serta Best Award Design (Kasturi) dalam pertandingan  Melaka International Intelectual Exposition 2019. Ahli penyelidik lain yang turut serta dalam penyelidikan ini ialah Dr Khairul Anuar Mohamad dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS), Dr Mokmin Basri (KUIS), Dr Sedek Ariffin (UM) dan Nur Musliza Mustafa (pelajar PhD USIM).