NILAI, 4 Oktober 2015 – Komitmen untuk mempromosikan Program Fit Malaysia dan Hari Sukan Negara yang bakal berlangsung 10 Oktober nanti, YB Khairy Jamaluddin bersama Kumpulan Fit Malaysia hadir ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Seramai hampir 1,000 orang pelajar berkumpul di Pusat Sukan Tunku Najihah USIM untuk turut serta menjayakan program ini.

Walaupun aktiviti senaman fit tidak dapat dijalankan kerana jerebu yang agak teruk pada pagi tersebut di mana bacaan IPU lebih dari 200, ia tidak membataskan perjalanan program dengan sesi ramah mesra bersama para pelajar.

“Saya amat menghargai sumbangan 50 buah basikal daripada Menteri Besar Negeri Sembilan baru-baru ini dan beberapa langkah di ambil untuk memastikan kelestarian aktiviti sukan di USIM. Antaranya kita telah membuat laluan berbasikal dalam kampus sekitar 20 ke 25 kilometer dan kini USIM dalam proses membina laluan motorcross dalam kampus atas faktor keadaan struktur tanah USIM yang berbukit dan ada kawasan lapang adalah sesuai untuk ditambahbaik untuk mempelbagaikan aktiviti sukan bagi kegunaan masa akan datang,” ujar Prof Dato Dr Musa Ahmad.

Hari Sukan Negara yang pertama kalinya akan disambut oleh seluruh rakyat Malaysia diharapkan akan bersama-sama menjayakan aktiviti sukan dan acara yang diadakan selain menjadikan sukan sebagai salah satu budaya bagi mengamalkan cara hidup yang sihat.

“Saya amat teruja bersama warga USIM memandangkan ini adalah lawatan rasmi pertama saya ke USIM sempena Hari Sukan Negara nanti. Apabila saya dimaklumkan bahawa bacaan IPU di kawasan Nilai ini sudah mencecah 200, atas faktor kepentingan kesihatan, aktiviti yang telah dirancang tidak dapat dilaksanakan. Namun amat berbesar hati untuk mengajak warga belia USIM untuk turut serta bersukan dan terlibat dalam acara di Hari Sukan Negara nanti,”

“Saya mahu USIM menjadi pusat kecemerlangan sukan berbasikal Institusi Pengajian Tinggi memandangkan USIM telah pun melaksanakan budaya berbasikal di kampus. Pada masa sama, USIM mempunyai kelebihan kerana kampusnya yang terletak berhampiran velodrome tertutup kelas satu yang akan dibina di Nilai. Perbincangan dengan Naib Canselor USIM akan dijalankan dan saya mahu lahirkan atlet-atlet berbasikal dan saya akan sediakan blue print bagaimana hasrat ini dapat dilaksanakan dengan beberapa perancangan bersama pihak USIM”, tambah YB Khairy Jamaluddin ketika merasmikan Fit Malaysia Uni@USIM baru-baru ini .

Turut hadir sama memeriahkan program fit Uni@USIM adalah pengurusan kanan USIM iaitu Timbalan- Timbalan  Naib Canselor USIM, Pendaftar USIM. Di akhir program, turut diadakan persembahan dari pasukan pencak silat olahraga USIM.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204