NILAI – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melaksanakan inisiatif FuturforStudent bagi menyediakan sarapan pagi percuma kepada mahasiswa sepanjang tempoh peperiksaan akhir sebagai usaha menyokong kebajikan dan kesejahteraan pelajar.

Inisiatif di bawah agenda MPP4U itu berlangsung dari 20 Julai hingga 5 Ogos lalu bagi membantu memenuhi keperluan asas mahasiswa, khususnya ketika menghadapi tempoh peperiksaan.

Pengarah Program FuturforStudent, Muhammad Hafizuddin Saiful Adli berkata, penyediaan sarapan pagi itu diharap dapat membantu pelajar mengekalkan tenaga dan fokus sepanjang menduduki peperiksaan.

“Sarapan pagi yang sempurna mungkin kelihatan ringkas, namun ia memberi impak yang besar terhadap tahap tenaga, kestabilan minda dan fokus pelajar ketika menjawab soalan.

“Kami mahu memastikan tiada pelajar yang terpaksa menduduki peperiksaan dalam keadaan perut kosong,” katanya.

Menurutnya, tempoh pelaksanaan program disusun berdasarkan jadual peperiksaan rasmi bagi memastikan manfaat inisiatif berkenaan dapat dinikmati mahasiswa sepanjang tempoh peperiksaan.

Bagi memastikan proses pengagihan berjalan lancar, MPP USIM turut bekerjasama dengan wakil badan pelajar di setiap fakulti untuk mengagihkan makanan di beberapa lokasi strategik sekitar kampus.

Muhammad Hafizuddin berkata, inisiatif tersebut diharap dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan termasuk melalui penyediaan sarapan pagi secara percuma atau bersubsidi kepada mahasiswa.

“Perancangan pada masa hadapan adalah untuk memperluaskan penyediaan sarapan pagi secara percuma atau bersubsidi kepada pelajar, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengambilan makanan berkhasiat sebelum memulakan sesi pembelajaran demi kesejahteraan fizikal dan pencapaian akademik,” katanya.

Beliau turut menyeru mahasiswa supaya mengambil hidangan mengikut keperluan bagi memastikan bekalan dapat dikongsi secara adil dan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.

Inisiatif FuturforStudent mencerminkan komitmen MPP USIM dalam memperkukuh kebajikan mahasiswa serta mewujudkan persekitaran kampus yang menyokong kesejahteraan dan kecemerlangan akademik.

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini