MEKAH – Seramai 30 mahasiswa tahun akhir Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai GISO Kembara Haramain dari 16 hingga 25 Ogos 2026 di Mekah dan Madinah bagi mendalami penghayatan sirah Rasulullah SAW, menimba pengalaman menunaikan ibadah umrah serta memperoleh pendedahan awal sebagai bakal mutawif dan mutawifah.
Program anjuran mahasiswa tahun akhir FPQS itu turut disertai dua pegawai pengiring termasuk Dr. Amiruddin bin Mohd Sobali dan diisi dengan aktiviti ibadah umrah, pemindahan ilmu, persilangan budaya, ziarah ilmiah, Jejak Rasul serta khidmat masyarakat.
Pengarah Program GISO Kembara Haramain, Ammar Wajdi Mohamed, 23, berkata program itu memberi peluang kepada mahasiswa menghubungkan pembelajaran dalam bidang Quran dan Sunnah dengan pengalaman sebenar di Tanah Suci.
“Objektif utama program adalah memberikan pendedahan dan pengalaman menunaikan ibadah umrah di Mekah dan Madinah, di samping melaksanakan aktiviti GISO sebagai usaha melahirkan bakal mutawif dan mutawifah,” katanya.
Antara pengisian utama ialah ziarah ilmiah dan Jejak Rasul ke beberapa lokasi bersejarah yang mempunyai kaitan dengan perjalanan dakwah Rasulullah SAW, antaranya Masjid Quba, Gua Hira, Gua Thur dan Kota Taif.
Menurut Ammar, pengalaman berada sendiri di lokasi bersejarah memberi penghayatan yang lebih mendalam terhadap sirah Nabawi berbanding pembelajaran secara teori semata-mata.
“Bagi saya, pengalaman paling berharga sepanjang program ini adalah menelusuri sirah Nabi SAW secara langsung dengan menziarahi tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Quba, Gua Hira, Gua Thur, Kota Taif dan sebagainya,” katanya.
Selain penghayatan sirah, program berkenaan turut memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap aspek pengurusan, komunikasi dan penyesuaian diri melalui aktiviti pemindahan ilmu, persilangan budaya dan khidmat masyarakat.
Pengalaman itu penting sebagai persediaan kepada mahasiswa yang berhasrat menceburi bidang berkaitan pengurusan umrah dan ziarah, khususnya dalam memahami keperluan jemaah serta menyampaikan maklumat berkaitan ibadah dan sejarah Islam dengan lebih berkesan.
Penyertaan dalam GISO Kembara Haramain turut memperluas pengalaman mahasiswa di luar bilik kuliah dengan memberi ruang kepada mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam konteks sebenar.
Program ini sekali gus menyokong usaha FPQS dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai ilmu al-Quran dan Sunnah, tetapi turut mempunyai kemahiran praktikal, keyakinan serta keupayaan menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
Pengalaman sepanjang berada di Mekah dan Madinah diharap menjadi nilai tambah kepada mahasiswa dalam memperkukuh penghayatan sirah dan sunnah Rasulullah SAW serta mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan sebagai bakal mutawif dan mutawifah.
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar





