Dr. Sharifah Najwa Binti Syed Mohamad
Dr. Sharifah Najwa Binti Syed Mohamad Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Keluarga Klinikal, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Pandemik COVID-19 dan Perancangan Keluarga: Apakah kaitannya?

 

Berikutan musim pandemik coronavirus disease 2019 (COVID-19) dan perintah kawalan pergerakan (PKP), kita lihat terdapat pelbagai berita yang tular di aplikasi atas talian, seperti Facebook mahupun WhatsApp. Adakalanya berita yang diwarwarkan itu tidak diketahui kesahihannya dan ditular sebagai berita palsu. Namun begitu, saya cukup terpanggil dengan satu mesej yang tular yang mengaitkan para isteri dengan PKP. Mesej ini menjangkakan bahawa ramai para isteri yang akan melahirkan anak 9 bulan dari bermulanya PKP, oleh kerana suami dan isteri ‘duduk di rumah’ selama paling kurang 2 bulan. Mesej tersebut mungkin berbaur jenaka ataupun hiburan, tetapi pada hemat saya, ianya tidak boleh dipandang ringan. Timbul persoalan di minda saya. Adakah para suami isteri memandang isu merancang keluarga dengan lebih serius dikala ini? Ataupun ianya masih dipandang enteng?

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menjalankan kajian pada 2014 dan mendapati hanya 52.2 peratus wanita di Malaysia mengamalkan kaedah merancang. Sebanyak 34 peratus wanita menggunakan kaedah moden manakala 18 peratus menggunakan kaedah semula jadi. Menurut kajian yang lain oleh M. Mansor pada tahun 2015, hanya 53.9% peratus wanita di Selangor menggunakan kaedah merancang. Jumlah ini juga lebih banyak berbanding dengan amalan merancang oleh wanita di kawasan luar bandar. Jabatan Statistik Malaysia menganggarkan pada tahun 2040, jumlah penduduk Malaysia akan meningkat ke 41.5 juta. Kadar peningkatan populasi penduduk yang tidak terkawal akan menjurus kepada isu sosial, seperti wujudnya jurang ekonomi yang besar, serta akses kepada rawatan kesihatan dan peluang belajar yang tidak sekata. Secara tidak langsung, kualiti sesebuah institusi keluarga akan terjejas, dan memberi kesan negatif terhadap komuniti dan pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, isu merancang keluarga ini perlu diutamakan oleh setiap pasangan suami dan isteri.

Mengapakah kita perlu merancang keluarga?

 

Selain daripada masalah sosial berikutan peningkatan populasi yang mendadak, terdapat banyak sebab-sebab lain mengapa ianya perlu dititikberatkan, antaranya:

  • Mengambil kira kesihatan ibu yang baru sahaja melahirkan anak, di mana mereka memerlukan rehat yang secukupnya, dengan jarak yang sesuai untuk mengandung semula, sebaik-baiknya setelah anak tersebut berusia dua
  • Mengambil kira ibu-ibu yang mempunyai risiko tinggi untuk mengandung dan melahirkan. Contohnya, terdapat para ibu yang mempunya penyakit diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya. Para doktor pakar sangat menggalakkan mereka untuk menjarakkan kandungan untuk menjaga
  • Mengambil kira usia ibu tersebut. Dari segi perubatan, umur ibu yang mengandung melebihi 35 tahun mempunyai risiko tinggi untuk penyakit diabetes, darah tinggi, anak sindrom Down dan
  • Memberi ruang supaya emosi isteri lebih bersedia untuk mengandung dan bersalin
  • Memberi ruang untuk suami atau isteri yang bekerja untuk merancang kewangan supaya lebih bersedia untuk menimang cahaya mata

Siapakah yang perlu bertanggungjawab dalam amalan merancang keluarga?

 

Kedua-dua suami dan isteri perlu cakna tentang kaedah merancang yang ada. Kaedah yang dipilih mestilah dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan dibincangkan sepenuhnya. Lazimnya, para isteri di Malaysia masih bergantung sepenuhnya kepada suami mereka untuk membuat keputusan tentang hal merancang keluarga. Senario yang sering berlaku kebiasaannya adalah, si suami membuat keputusan untuk merancang secara semula jadi (i.e. ‘azal, mengikut kitaran haid isteri, ataupun mengikut suhu badan isteri). Harus diingatkan bahawa kadar untuk seseorang ibu itu mengandung dengan menggunakan kaedah semula jadi adalah antara 20-30 peratus. Manakalah dengan kaedah perubatan moden (contohnya pil, depo, implan, dan alat dalam rahim) adalah lebih rendah, iaitu kurang daripada 10 peratus. Bagi kaedah seperti kondom pula, kadar untuk mengandung adalah lebih kurang 17 peratus, dan bergantung juga pada tahap disiplin dalam penggunaannya.

Apakah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kesedaran dan ilmu tentang amalan merancang keluarga?

 

Cara untuk meningkatkan kesedaran dan ilmu adalah dengan mendapatkan rundingan doktor di klinik swasta dan kerajaan, ataupun di klinik-klinik LPPKN. Dalam era masa kini yang serba boleh, banyak maklumat yang boleh didapati di atas talian, namun, pengguna perlulah berhati-hati dengan maklumat yang diperolehi. Ianya haruslah dipastikan kesahihannya menerusi saluran mahupun agensi yang sesuai. Sebarang persoalan boleh dicatatkan, dan berjumpalah dengan doktor untuk mendapat keterangan lanjut.

Di manakah maklumat tentang amalan dan kaedah merancang keluarga boleh didapati?

Anda boleh mendapatkan rundingan daripada doktor di klinik swasta dan kerajaan ataupun klinik LPPKN yang mempunyai banyak rangkaian. Bawalah pulang brosur sekiranya ada, dan berbincanglah dengan pasangan tentang kaedah yang paling sesuai. Para doktor juga boleh mencadangkan kaedah yang paling sesuai untuk isteri anda sekiranya beliau mempunyai masalah kesihatan dan berisiko tinggi untuk mengandung.

Sebagai contoh:

Puan Hani, 35 tahun, dan suaminya mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan. Beliau baru sahaja melahirkan anak keduanya 6 minggu yang lalu. Beliau mempunyai masalah jantung berlubang dan berisiko tinggi untuk mengandung lagi. Doktor pakar telah memberi nasihat untuk tidak mengandung lagi dan telah mencadangkan beliau mengamalkan kaedah implan ataupun alat dalam rahim (IUCD). Pilihan mereka adalah bergantung kepada persetujuan antara suami dan isteri, mengikut kebaikan (benefits) dan keburukan (risks) kaedah-kaedah tersebut yang telah dimaklumkan oleh doktor.

Adakah hukum merancang keluarga dari pandangan Islam selari dengan perubatan moden?

Dari sudut pandangan Islam, ulama rata-ratanya membenarkan amalan merancang keluarga selagi ianya tidak bercanggah dengan syarak. Sebagai contoh, kaedah merancang sehingga perlu menyebabkan kemandulan adalah solusi terakhir dan hanya sekiranya amat perlu dalam keadaan kecemasan, atau risiko yang terlampau tinggi. Merancang keluarga sekadar menjarakkan untuk suatu tempoh tertentu itu tidaklah salah. Dan jika mengambil kira kemaslahatan juga, ianya dibolehkan selagi mendapatkan persetujuan kedua-dua pasangan. (Sumber: muftiwp.gov.my)

Dalam contoh yang lain, ada ulama yang berbeza pendapat tentang merancang keluarga untuk menjaga ekonomi keluarga. Namun, hal ini bolehlah dibawa berbincang bersama suami dan isteri. Sebagai hamba Allah, kita haruslah bersangka baik kepada-Nya. Pada masa yang sama, kita perlu juga mengambil tahu, bahawa pada zaman ini, terdapat banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi keselamatan seseorang ibu untuk mengandung. Mari kita ambil contoh di bawah:

Ramai wanita pada zaman ini bertindak untuk berkahwin setelah tamat belajar sehingga ke peringkat pendidikan tinggi. Lanjutan daripada ini, mereka berkahwin pada usia yang agak lewat untuk mempunyai ramai anak serta mempunyai risiko pelbagai penyakit sewaktu mengandung. Oleh itu, risiko untuk wanita dalam senario ini perlu diperhalusi dan mestilah dirancang sebaik-baiknya. Harus diingatkan di sini, setiap kaedah merancang yang dicadangkan oleh doktor adalah demi keselamatan setiap wanita serta mengambil kira izin suami juga.

Mesyuarat Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 telah memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga yang menyatakan berikut (Sumber: muftiwp.gov.my):

  1. Proses pemandulan lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram (tanpa sebab yang munasabah).
  2. Mencegah kelahiran atau mengehadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang
  3. Menyusun keluarga dari segi kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah

Dari petikan dari al-Quran juga, dalam ayat 233 surah al-Baqarah, telah dinyatakan tentang galakan menyusukan bayi sehingga umur dua tahun untuk ‘menyempurnakan’ penyusuan untuk bayi tersebut. Hal ini boleh dikatakan sebagai dorongan untuk menjarakkan kandungan bagi pasangan suami isteri, di samping menggunakan kaedah merancang keluarga yang lain. Ibu bapa juga boleh memberi tumpuan kepada anak yang lahir selama dua tahun, sebelum bersedia untuk menimang cahaya mata lagi.

Dalam pada masa yang sama, isu merancang keluarga ini boleh dikaitkan dengan prinsip Maqasid Syariah dalam Islam. Secara langsung, dua daripada lima prinsip Maqasid Syariah dapat dipenuhi di sini, iaitu hifz an-nas (menjaga nyawa) dan hifz an-nas (menjaga keturunan). Secara tidak langsung, prinsip Maqasid Syariah yang lain juga dapat diaplikasi iaitu hifz ad-din (menjaga agama), hifz al-‘aql (menjaga akal) dan hifz al-mal (menjaga harta) khusus untuk para suami dan isteri sendiri.

Sebagai penutup, kita boleh rumuskan bahawa, selagi amalan merancang keluarga itu tidak bercanggah dengan syarak, tidak memudaratkan, serta berdasarkan kaedah yang menepati syariat, ianya harus diamalkan. Ia juga tidak terhad kepada kaedah merancang semulajadi sahaja. Diharapkan agar lebih ramai pasangan suami isteri yang memberi perhatian terhadap isu ini, dengan mendapatkan khidmat nasihat yang bersesuaian untuk menepati pilihan masing-masing secara kolektif. Perlu dinasihatkan bahawa amalan ini perlulah dipraktikkan secara berterusan dan tidak terhad pada musim wabak atau pandemik COVID-19 ini sahaja. Jika setiap institusi keluarga dapat memenuhi tanggungjawab ini, ianya dapat memberi impak yang besar terhadap perkembangan penduduk dan pembangunan negara, di samping memelihara prinsip Maqasid Syariah dalam agama.