Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin
Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin Pengarah Jabatan Keselamatan

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, negara digemparkan dengan insiden tragis melibatkan kes buli, amuk, dan bunuh. Kes-kes keganasan yang dahulunya dianggap terpencil kini semakin kerap berlaku, menggambarkan perubahan yang membimbangkan dalam masyarakat kita. Daripada kejadian buli di sekolah yang menyebabkan kecederaan parah, pergaduhan di tempat kerja yang berakhir dengan kehilangan nyawa, sehinggalah insiden serangan di tempat awam yang mencetuskan ketakutan, semuanya menimbulkan satu persoalan besar—mengapa masyarakat kita semakin hilang pertimbangan?

Di jalan raya, budaya samseng semakin menjadi-jadi. Hanya kerana selisih faham kecil, pemandu sanggup keluar dari kenderaan dan bertindak ganas, tanpa mengira siapa yang menjadi mangsa. Orang tua, wanita, bahkan ibu yang sedang membawa anak kecil turut menjadi sasaran kemarahan melampau. Tidak cukup dengan cacian dan ugutan, ada yang sanggup memukul, dan merosakkan harta benda hanya kerana emosi tidak terkawal. Ke mana hilangnya sikap sabar dan timbang rasa?

Islam sebagai ad-Din yang sempurna menekankan nilai rahmah (kasih sayang), keadilan, dan kesabaran. Namun, apabila keganasan menjadi jalan utama dalam menyelesaikan konflik, ini menunjukkan bahawa nilai-nilai murni semakin terhakis. Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim itu adalah saudara bagi Muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya dizalimi.” (HR Bukhari & Muslim). Malangnya, ikatan ukhuwah ini semakin longgar apabila manusia lebih memilih kekerasan berbanding penyelesaian secara hikmah.

Tekanan hidup sering dijadikan alasan untuk tindakan agresif, tetapi Islam mengajar umatnya untuk bersabar dan bertawakal. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” Setiap ujian pasti ada jalan keluar yang diredhai, bukan dengan keganasan yang membawa mudarat kepada diri sendiri dan orang lain. Namun, realiti masyarakat hari ini menunjukkan bahawa semakin ramai yang memilih jalan singkat untuk melampiaskan emosi tanpa memikirkan akibatnya.

Peranan keluarga dan institusi pendidikan amat penting dalam membentuk generasi yang lebih matang dan berakhlak. Anak-anak yang membesar dalam persekitaran yang “keras” dan tanpa bimbingan rohani yang kukuh akan memandang keganasan sebagai penyelesaian. Didikan berteraskan kasih sayang, adab, dan agama mampu melahirkan individu yang lebih rasional dalam menangani konflik. Apabila nilai-nilai ini diabaikan, kita akan terus melihat tragedi demi tragedi berlaku, seolah-olah masyarakat semakin kehilangan pedoman.

Hakikatnya, kita sedang menyaksikan krisis akhlak yang semakin membarah. Kembali kepada ajaran Islam bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak. Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan sebahagian daripada masalah. Jika tidak, kes-kes keganasan ini akan terus berulang, menjadi cerminan betapa kita semakin jauh daripada nilai-nilai yang dituntut oleh agama dan norma kemanusiaan.