Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan mesyuarat Kick-Off bagi Pelaksanaan Kajian-kajian Empirikal Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh YBrs. Puan Faizah binti Jaarudin, Ketua Eksekutif IPSOM pada 25 Mac 2025. Mesyuarat ini merasmikan penyerahan tugasan kajian kepada penyelidik terpilih serta penyampaian sijil penghargaan kepada para penilai yang komited dalam menjayakan pelan kajian. Antara pelan kajian yang dipertengahkan ialah kajian bertajuk Kajian Pembangunan Pelan Tindakan Menangani Ancaman Jenayah Siber Negara, yang diketuai oleh Prof Ts Dr Madihah Mohd Saudi dari Program Keselamatan dan Jaminan Maklumat (ISA), Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia. Turut serta dalam kajian ini adalah ahli-ahli penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama ahli-ahli penyelidik daripada Pertubuhan Akademia Keselamatan Siber (CSAM), yang mengumpulkan pakar dalam bidang keselamatan siber dari universiti awam dan swasta di Malaysia, serta beberapa rakan kolaborasi daripada United Kingdom antaranya ialah Professor Corinne May-Chahal dari University Lancaster, United Kingdom. Penyelidik-penyelidik ini mempunyai kekuatan integrasi dalam bidang keselamatan siber, perundangan dan psikologi.
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti ancaman jenayah siber dalam negara yang merangkumi jenayah yang dibantu teknologi (cyber enabled crime) dan jenayah yang bergantung sepenuhnya kepada teknologi (cyber dependent crime). Selain itu, kajian ini juga berhasrat untuk menyediakan sebuah Pelan Tindakan Menangani Ancaman Jenayah Siber di peringkat kebangsaan yang bersifat komprehensif dengan mengambil kira aspek dasar perundangan, pencegahan dan penguatkuasaan, latihan dan pembangunan kepakaran siber, serta program pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat. Tambahan pula, kajian ini akan menganalisis elemen-elemen keperluan dalam cadangan penubuhan Pusat Pangkalan Data Bersepadu Jenayah Siber Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan merujuk kepada fungsi serta kapasiti agensi sedia ada, sekali gus menghubungkaitkannya dengan strategi pelan kajian yang telah dirangka.Asas bagi pembinaan pelan tindakan ini adalah berdasarkan manusia (people), proses dan teknologi. Perkembangan teknologi terkini seperti perisian berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, digital twin dan deepfake akan dikaji keberkesanannya dalam kajian ini, dalam pengesanan jenayah siber dalam membantu pihak berkuasa.
Kajian ini akan memberi penekanan khusus kepada jenayah yang dibantu teknologi (cyber enabled crime), yang menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam beberapa aspek utama. Laporan National Cyber Security Index (NCSI) bagi tahun 2024 meletakkan Malaysia di kedudukan ke-20 dalam persediaan menghadapi ancaman siber global. Selain itu, laporan Global Security Index oleh International Telecommunication Union (ITU) menggariskan lima komponen utama keselamatan siber negara, iaitu perundangan, teknikal, organisasi, pembinaan kapasiti, dan kerjasama strategik antarabangsa. Statistik terkini menunjukkan peningkatan kes child grooming atau pengantunan kanak-kanak dalam talian meningkat sebanyak 35% dalam tempoh dua tahun terakhir. Selain itu, penjualan barangan terlarang seperti dadah dan senjata api di platform media sosial juga semakin berleluasa, dengan peningkatan kes yang direkodkan sebanyak 40% pada tahun 2024. Aktiviti penipuan dalam jualan atas talian turut menunjukkan lonjakan yang ketara, dengan lebih 25,000 kes dilaporkan hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2024. Jenayah siber terus menjadi ancaman besar dengan kerugian sebanyak RM1.5 bilion dicatatkan pada tahun 2024. Antara jenayah yang dibantu teknologi termasuk ekstremisme dan radikalisasi yang disebarkan melalui media sosial, pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa dalam talian, eksploitasi kanak-kanak melalui pornografi dan pengantunan digital, serta penyebaran berita palsu yang boleh menggugat kestabilan negara.
Dari sudut jenayah keseluruhan, Statistik Jenayah Malaysia 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan peningkatan kes jenayah indeks, jenayah kekerasan, dan jenayah harta benda, yang menuntut langkah-langkah proaktif bagi memperkukuh keselamatan digital serta fizikal negara (dosm.gov.my).
Dengan sokongan pihak kerajaan dan penyelidik, kajian ini diharap dapat memberi impak besar kepada komuniti akademik, sektor industri, serta keselamatan negara secara keseluruhannya.