Tahniah kepada semua graduan yang kini sedang meraikan dan menghadiri proses konvokesyen di tempat pengajian masing-masing. Sudah pasti objektif utama yang sedang difikirkan oleh semua graduan selepas selesai tamat proses pengajian dan konvokesyen mereka kini ialah mencari peluang-peluang pekerjaan serta menjana pendapatan mereka sendiri serta buat keluarga mereka. Graduan juga perlu mencari sumber pendapatan bagi melunaskan kembali segala hutang pinjaman pendidikan yang telah dibuat oleh mereka bagi menampung proses pengajian mereka ketika di universiti.
Namun realiti mencari pekerjaan pada masa kini tidak semudah seperti yang dijangkakan. Dengan keadaan semasa pada masa kini yang penuh mencabar, agak sukar untuk mana-mana pihak mencari peluang pekerjaan dan ini termasuklah golongan graduan universiti. Dengan mengambil kira pelbagai faktor yang mempengaruhi penawaran peluang pekerjaan itu sendiri seperti faktor keadaan ekonomi semasa dalam dan luar negara yang dilihat tidak menentu pada masa kini, faktor persaingan dikalangan pencari pekerja yang ramai, faktor kebolehpasaran graduan itu sendiri, dan lain-lain faktor lagi, proses mencari serta mendapatkan pekerjaan akan mengambil masa yang lebih panjang. Suka ataupun tidak, proses pengangguran tidak dapat dielakkan untuk graduan masa kini berdasarkan cabaran semasa mencari serta mendapatkan peluang kerja serta berdasarkan faktor-faktor yang telah dinyatakan diatas.
Isu pengangguran dikalangan graduan dalam negara kita bukan satu isu yang jarang kita dengari. Hampir setiap tahun, kita akan didedahkan dengan statistik graduan yang menganggur dalam negara kita. Baru-baru ini juga YB Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turut ada menyatakan bahawa hampir 60 peratus siswazah peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian mereka. Menurut beliau, fakta tersebut adalah berdasarkan dapatan daripada Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Tahun 2018 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Tidak semua graduan lepasan universiti terus mendapat peluang pekerjaan selepas mereka tamat proses pengajian mereka di universiti. Hakikat pahit ini perlu diterima oleh semua pihak berdasarkan keadaan semasa yang penuh mencabar yang wujud pada ketika ini. Namun tempoh masa untuk mencari pekerjaan selepas tamatnya proses pengajian di universiti tidak seharusnya berlaku terlalu lama bagi mengelakkan tahap kebolehpasaran graduan terbabit dipasaran kerja terjejas.
Terdapat pelbagai perkara yang boleh menjadi penghalang kepada pihak graduan untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Antara yang sering menjadi halangan bagi mana – mana graduan untuk mencari perkerjaan ialah syarat-syarat yang dikemukakan oleh pihak majikan itu sendiri yang kadang kala dilihat tidak realistik serta menutup segala peluang khususnya kepada para graduan yang baru hendak memulakan alam pekerjaan seperti syarat untuk memiliki pengalaman selain daripada syarat kelayakan akademik. Tidak dapat dinafikan, faktor untuk memiliki pengalaman dalam sesuatu bidang pekerjaan adalah penting bagi memudahkan perjalanan sesuatu jenis pekerjaan. Dengan adanya pengalaman, sesuatu jenis pekerjaan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, berkesan serta tidak membawa beban kepada pihak majikan dan organisasi yang terlibat terutamanya beban dari aspek kos kewangan untuk memberi latihan kemahiran kepada pekerja yang kurang pengalaman. Namun perlu diketahui, syarat pengalaman yang diletakkan ini akan menyukarkan pihak graduan yang baru selesai menjalani proses pengajian mereka untuk memperolehi pekerjaan.
Adalah mustahil untuk para graduan yang rata-ratanya berada pada usia muda untuk memiliki pengalaman bagi mengisi penawaran pekerjaan yang ada. Setiap orang memerlukan satu tempoh tertentu bagi memiliki serta menguasai segala bentuk pengalaman seperti yang dikehendaki oleh kebanyakkan majikan pada masa kini. Adalah tidak adil sekiranya syarat pengalaman sering dijadikan sebagai syarat bagi setiap penawaran pekerjaan yang dibuat oleh pihak majikan.
Pihak majikan perlu juga melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat dengan menawarkan lebih banyak ruang dan peluang pekerjaan kepada graduan kita dan bukan hanya sibuk memikirkan soal keuntungan semata-mata. Majikan yang baik adalah majikan yang betul-betul faham terhadap keadaan graduan yang baru selesai menamatkan pengajian mereka yang selalunya tidak memiliki pengalaman yang banyak. Majikan yang baik juga akan sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada para graduan yang telah diterima bekerja untuk menimba segala bentuk pengalaman dengan menghantar mereka untuk menjalani sesuatu kursus atau proses latihan jangka pendek. Pihak majikan seharusnya mengambil langkah bijak serta berfikir panjang dengan menganggap graduan yang tidak memiliki pengalaman yang banyak ini sebagai satu aset atau pelaburan penting buat jangka panjang yang boleh membawa keuntungan dan kejayaan kepada syarikat dan organisasi mereka.
Sekiranya para graduan yang masih muda dan bertenaga ini diberi segala ruang, peluang dan latihan yang sepatutnya mereka dapat menjana lebih banyak produktiviti dan pulangan kepada syarikat dan organisasi mereka sendiri. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk pihak majikan mengetepikan syarat untuk memiliki pengalaman sebagai syarat bagi sebarang proses penawaran pekerjaan bagi memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada graduan kita yang baru hendak menjejakkan kaki mereka ke alam pekerjaan.
Bersempena Majlis Konvokesyen Ke-17 USIM yang telah menutup tirainya pada 28 November, sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan USIM. Mengenggam segulung ijazah adalah satu permulaan baharu buat kalian untuk mencipta peluang kerjaya dan membina masa depan yang cerah dan gemilang.