Baru-baru ini, tular berita tentang sebuah restoran antarabangsa yang disaman selepas didapati menggunakan logo halal palsu. Peristiwa ini mencetuskan kebimbangan kerana isu halal bukan sekadar label kecil pada bungkusan makanan, tetapi melibatkan soal keyakinan, integriti dan identiti umat Islam. Di Malaysia sendiri, kes produk tidak bersijil halal yang dipasarkan sebagai halal sering menjadi isu hangat, menandakan perlunya kesedaran dan penguatkuasaan yang lebih tegas.
Bagi umat Islam, halal tidak hanya terbatas pada makanan. Ia meliputi gaya hidup, dari aspek pakaian, kosmetik, ubat-ubatan, sehinggalah kepada sistem kewangan. Halal umumnya bermaksud sesuatu yang dibenarkan syariah, manakala haram ialah perkara yang ditegah.
Apabila sesuatu produk disahkan halal, ia membawa ketenangan jiwa. Pengguna juga yakin proses penyediaannya bersih, beretika dan selamat. Malah, perkembangan menarik hari ini ialah ramai pengguna bukan Islam yang memilih produk halal kerana standard kebersihan dan kualitinya yang lebih diyakini.
Membanggakan kerana Malaysia dikenali sebagai antara peneraju industri halal global. Nilai pasaran halal dunia dianggarkan melebihi US$2 trilion setahun yang meliputi makanan, farmaseutikal, kosmetik, logistik dan pelancongan. Malaysia melalui badan seperti JAKIM menjadi rujukan antarabangsa dalam pensijilan halal.
Namun cabarannya tetap besar: isu logo halal palsu, kurangnya pemahaman awam, dan persaingan global memerlukan Malaysia terus melahirkan pakar halal yang berwibawa.
Di sinilah letaknya peranan universiti-universiti tempatan seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebagai universiti Islam yang menekankan integrasi ilmu naqli (wahyu) dan aqli (akal), USIM berada pada kedudukan strategik untuk memperkasakan agenda halal negara.
USIM misalnya telah menubuhkan institut penyelidikan halal yang memberi tumpuan kepada kajian produk makanan, farmaseutikal, dan kosmetik. Melalui penyelidikan ini, universiti bukan sahaja melahirkan data saintifik yang boleh dijadikan rujukan, tetapi juga menghasilkan inovasi seperti kit pengesanan bahan tidak halal.
Program akademik di USIM seperti Sains Makanan, Sains Perubatan, dan Syariah sentiasa disusun agar pelajar memahami aspek halal dalam disiplin masing-masing. Malah, USIM juga menganjurkan kursus pendek dan latihan industri bagi melahirkan graduan yang bersedia terjun ke industri halal.
Apa yang membezakan USIM dengan universiti tempatan lain ialah pendekatan integratifnya. Graduan bukan sahaja dibekalkan dengan kemahiran teknikal, tetapi juga kefahaman agama yang mendalam. Dengan itu, mereka bukan sekadar “pegawai teknikal halal”, tetapi profesional berintegriti yang menjunjung amanah.
USIM kerap bekerjasama dengan agensi kerajaan, syarikat makanan, farmasi dan kosmetik untuk memberi khidmat nasihat serta menjalankan projek penyelidikan bersama. Malah, mahasiswa USIM terlibat dalam program kesedaran halal di sekolah-sekolah dan komuniti yang cuba menyemai kefahaman tentang halal sejak peringkat akar umbi.
Jelas bahawa Halal bukan sekadar logo pada bungkusan atau papan tanda restoran. Ia adalah cerminan identiti, integriti, dan maruah umat Islam. Malaysia sudah berada di hadapan dalam industri halal, tetapi untuk mengekalkan kedudukan ini, institusi pendidikan tinggi mesti terus melahirkan tenaga pakar yang berilmu dan berintegriti.
Sebagai universiti Islam berteraskan integrasi ilmu, USIM mempunyai tanggungjawab besar dalam misi ini. Dengan penyelidikan, pendidikan, inovasi dan penglibatan masyarakat, kita percaya USIM mampu menjadi peneraju dalam memastikan agenda halal terus diperjuangkan, bukan sahaja untuk umat Islam, tetapi juga sebagai sumbangan Malaysia kepada dunia.
