Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanPenolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

“Sayangi Malaysiaku, sayangi Malaysia, satu suara laungkan Merdeka!” merupakan bait-bait lirik lagu Kita Punya Malaysia nyanyian kumpulan Buknface yang dipilih sebagai lagu tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. Seperti mana rakyat Malaysia sentiasa teruja dengan lagu kemerdekaan, mereka termasuk penulis juga sentiasa ternanti tema Hari Kebangsaan pada saban tahun. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad usai mesyuarat kabinet pada 30 Mei lalu telah mengumumkan “Sayangi Malaysiaku” adalah tema rasmi yang dipilih untuk Hari Kebangsaan 2018.

Tema dan logo sudah terjawab, lagu Hari Kebangsaan sudah rancak berkumandang di corong radio dan televisyen kini, persoalan yang masih berlegar sejauh mana pula rasa patriotisma rakyat Malaysia terutama generasi muda? Apakah pula peranan kampus dalam menyemai rasa cintakan negara pada mahasiswanya? Adakah mereka merasakan tanah air tercinta ini adalah satu harta warisan yang tak ternilai yang perlu dijaga dan dipertahankan bersama-sama? Jawapan awal penulis, generasi muda kita sebenarnya memiliki jiwa patriotisma pada pertiwi ini.

Sebagai seorang pentadbir di universiti, generasi muda khususnya yang berada di institusi pendidikan tinggi telah diberi pendedahan dan didikan untuk menjadi warganegara Malaysia yang cintakan negara melalui pelbagai program yang terdapat di institusi pengajian mereka. Mungkin kerana program itu tidak mempunyai pengisian kibarkan Jalur Gemilang atau menonton dokumentari sejarah kemerdekaan, ia dianggap tidak memupuk patriostima pada jiwa generasi muda. Ini telahan yang dangkal kerana patriotisma adalah mengenai rasa kasih­sayang dan hormat kepada tanah air kita. Ia adalah satu perasaan semula jadi yang mendorong seseorang untuk bekerja keras demi pembangunan negara dan melindungi teguh warisan dan budaya negara daripada dimusnahkan.

Justeru apa sahaja program yang dianjurkan dan disertai oleh para mahasiswa kita yang memupuk ke arah nilai-nilai ini di kampus, penulis menganggap ia umpama menambah baja untuk menyuburkan lagi benih patriotisma yang telah sedia ada bersemi di jiwa Anak Malaysia! Mahasiswa sebagai generasi muda menonjolkan semangat patriotik mereka melalui pelbagai medium seperti kata-kata, pemikiran dan tindakan. Tidak dapat dinafikan kadang-kala eksperimentasi mereka ini mengundang salah faham masyarakat hingga dianggap kurang patriotik.

Di universiti misalnya di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, fakulti mahupun kolej kediaman banyak menganjurkan pelbagai program berbentuk kesukarelawan dan khidmat komuniti seperti menyantuni warga emas, anak yatim, orang yang susah, penduduk kampung dan seumpamanya. Program sebegini akan menjadikan siswa-siswi kita menyelami realiti sebenar kehidupan masyarakat yang pelbagai rencah dan warna, kelak apabila menjadi pemimpin, mereka akan menjadi pemimpin yang menjiwai keluh-kesah rakyat dan membela rakyat, ini adalah patriotik.

Apabila tiba bulan Ogos, Sambutan Bulan Kebangsaan pula mengambil tempat dengan pelbagai program menyemarakkan semangat patriotisma meriah dianjurkan di dalam kampus seperti seminar, forum dan pertandingan bertemakan kemerdekaan. USIM misalnya baru-baru ini telah menganjurkan forum kemerdekaan dengan menjemput Angkawasan Pertama Negara, Dato’ Dr. Syeikh Muszaphar; dan wanita pertama negara menawan Gunung Everest iaitu Puan Siti Hanisah Sharuddin sebagai panel. Khalayak utama program ini tentunya mahasiswa kita iaitu generasi muda yang sentiasa cintakan negara.

Jika dalam program berbentuk akademik, rasa patriotik itu dibugarkan secara tidak langsung melalui subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara (TITAS) sebagai salah satu subjek yang diambil oleh siswa kita semasa pengajian di universiti. Dari pengamatan penulis yang turut mengambil TITAS di zaman pengajian dahulu, TITAS berupaya memperkukuh jati diri bangsa Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum, iaitu dengan mengamalkan kehidupan bertoleransi dan bertamadun. Generasi muda yang memahami dan menghargai sejarah negaranya, akan menjadi generasi Malaysia yang berpengetahuan dan peka pada keadaan semasa.

Sudah tersohor seantero dunia, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan warna kulit telah melengkapi di antara satu sama lain dan kepelbagaian ini tidak menjadi halangan untuk menjalani kehidupan yang harmoni. Meraikan kepelbagaian agama, adat resam dan budaya pelbagai kaum adalah nilai patriotisma dan ia sememangnya berlaku dalam kehidupan seharian di kampus. Penganjuran minggu kebudayaan sesuatu kaum misalnya di universiti menjadi wadah siswa kita lebih memahami keunikan negara ini dan menyedari ia perlu dipertahankan, bukan digoncang sehingga rebah.

Seorang bekas ahli politik Amerika Syarikat, Adlai Stevenson mengungkapkan “Patriotisme bukan cetusan pendek dan penuh emosi tetapi dedikasi yang tenang dan mantap seumur hidup”. Penyemaian rasa cintakan negara ini perlu dipupuk sejak kecil kerana apabila melangkah ke alam universiti, kita ingin melihat siswa mencurahkan kefahaman dan penghayatan terhadap patriotisma dalam bentuk pengamalan.

Antara cara paling mudah untuk menterjemahkan rasa cinta kepada negara ialah dengan menjadi rakyat yang baik. Sentiasa mengamalkan lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan serta sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk berbakti kepada negara mengikut kemampuan masing-masing. Apa yang kita mahukan disemat erat dalam diri setiap warganegara Malaysia, bumi bertuah ini milik kita bersama.