Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowFakulti Syariah & Undang-Undang

Setiap majikan dalam negara kita perlu melaksanakan segala tanggungjawab mereka sebagai ketua di sesebuah tempat kerja dengan profesional dan adil. Pihak majikan tidak boleh mengambil sikap pilih kasih ataupun melakukan amalan diskriminasi terhadap pekerja mereka sendiri. Sikap pilih kasih serta amalan diskriminasi bukan sahaja akan merosakkan suasana dan keharmonian ditempat kerja malah turut akan menjejaskan reputasi tempat kerja berkenaan di mata masyarakat umum. Pihak majikan harus tahu menilai tahap kebolehan serta sumbangan setiap pekerja mereka. Pihak majikan perlu memberi penghargaan yang sewajarnya kepada pekerja mereka yang berjaya melaksanakan sesuatu jenis tugasan yang telah diamanahkan kepada mereka.

Pada masa yang sama juga pihak majikan tidak boleh memandang rendah terhadap mana-mana pekerja mereka yang tidak berjaya memenuhi tugasan yang telah ditetapkan. Pihak majikan perlu rajin untuk duduk berbincang dengan mana-mana pekerja mereka yang tidak memenuhi syarat tugasan pekerjaan yang telah ditetapkan serta mendengar dan memahami dengan baik punca yang menyebabkan pekerja mereka gagal melakukan sesuatu jenis tugasan dengan baik.

Setiap luahan hati pekerja perlu didengari dengan baik serta diberi penuh perhatian oleh setiap majikan. Pihak majikan perlu memberi pendedahan serta latihan kemahiran yang secukupnya kepada setiap pekerja mereka supaya pekerja mereka dapat melaksanakan segala tugasan dengan baik dan sempurna.

Bagi mengelakkan pihak majikan dalam negara ini mengambil sikap pilih kasih ataupun melakukan amalan diskriminasi terhadap pekerja mereka, sudah sampai masanya pihak kerajaan menerima pakai cadangan untuk mewujudkan satu akta khusus bagi tangani masalah pilih kasih ataupun diskriminasi ditempat-tempat kerja dalam negara kita. Cadangan akta khusus mengenai perkara ini dilihat menjadi satu keperluan untuk dilaksanakan dalam negara kita bagi membendung sebarang perkara berbangkit berkaitan dengan masalah pilih kasih atau pun diskriminasi yang boleh berlaku ditempat kerja.

Cadangan akta khusus terbabit juga dilihat penting kerana melaluinya ia dapat memberi keadilan kepada para pekerja serta pada masa yang sama dapat memberi satu bentuk perlindungan yang lebih jelas terhadap para pekerja dalam negara kita baik di sektor kerajaan mahu pun di sektor swasta daripada sebarang bentuk amalan tidak sihat yang berlaku di tempat kerja. Masalah pilih kasih dan diskriminasi yang berlaku di sesebuah tempat kerja boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti dari segi jantina atau gender, dari aspek agama atau kepercayaan, dari aspek bangsa, warna kulit dan keturunan, dari segi umur, diskriminasi terhadap orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain lagi.

Masalah pilih kasih dan diskriminasi yang berlaku di tempat kerja ini akan menghasilkan impak negatif bukan sahaja terhadap diri pekerja itu sendiri malah turut akan menjejaskan reputasi dan produktiviti jabatan, organisasi atau syarikat yang terlibat dengan masalah berkenaan. Walaupun negara kita sudah memiliki pelbagai jenis peruntukkan undang-undang berkaitan dengan pekerjaan seperti Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177] namun, ia dilihat tidak memadai bagi memberi perlindungan yang secukupnya terhadap isu yang berkaitan dengan masalah diskriminasi dalam negara kita.

Sejajar dengan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahawa “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubung dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan atau apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan”, maka cadangan bagi mewujudkan satu akta yang lebih khusus serta komprehensif bagi membendung masalah pilih kasih dan diskriminasi di tempat kerja diberi pertimbangan secara serius oleh pihak kerajaan untuk diwujudkan dalam negara kita.

Sehingga kini, sudah terdapat banyak negara dunia yang sudahpun memiliki akta bagi menghentikan masalah pilih kasih dan diskriminasi di tempat kerja seperti Australia (Sex Discrimination Act 1984), Austria (Equality of Treatment Act), Denmark [Gender Equality (Consolidation) Act], Finland (Act on Equality between Women and Men, 1995), Jerman (Act to Establish Equality for Men and Women), Guyana (Prevention of Discrimination Act, 1997), Honduras (Law on Equal Opportunities for Women), Iceland (Act on the Equal Status and Equal Rights of Women and Men), Ireland (Employment Equality Act, 1998), Jepun (Equal Employment Opportunity Act), Korea Selatan (Equal Employment Act), Lithuania (Law on equal opportunities), Malta (Equality for Men and Women Act), Mauritius (Sex Discrimination Act), Netherlands (Equal Treatment Act), Norway (Gender Equality Act), Romania (Law on equal opportunities), Africa Selatan (Employment Equity Act), Sweden (Equal Opportunities Act, 1991), Switzerland (Law on equality), Uruguay (Decree No. 37/997 regulating Law No. 16045 on the need for effective implementation of equality of treatment and opportunities at work), dan Venezuela (Organic Law on the Rights of Women to Fairness and Equality).

Sudah sampai masanya untuk Malaysia memiliki akta khusus bagi membendung masalah pilih kasih dan diskriminasi yang berlaku di tempat kerja supaya sebarang bentuk amalan pilih kasih dan sikap diskriminasi yang berlaku di tempat kerja sama ada secara langsung atau tidak langsung dapat dinyatakan dengan lebih jelas melalui peruntukkan undang-undang khusus mengenainya. Melalui pengenalan akta khusus terbabit juga, sebarang tindakan penguatkuasaan dapat diambil dengan segera dan dengan lebih berkesan demi melindungi hak dan kebajikan semua pekerja.