Syahrul Adam Salleh Ibrahim, mahasiswa FSU
Syahrul Adam Salleh Ibrahim, mahasiswa FSUPelatih Dalam Kamar, Tetuan Hasanuddin Syazwani & Ghazali

Ketika kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68, kita tidak sekadar meraikan sebuah tarikh keramat, tetapi menghayati sebuah perjalanan panjang yang dibina di atas pengorbanan, air mata, dan perjuangan orang silam yang mengimpikan sebuah bangsa yang merdeka, bermaruah dan maju.

Kemerdekaan yang dikecapi pada 31 Ogos 1957 bukanlah hadiah yang datang bergolek, tetapi hasil daripada semangat kental, tekad perjuangan, dan kebijaksanaan tokoh-tokoh terdahulu. Mereka menempuh liku penjajahan, merasai getirnya kehilangan hak, malah mengorbankan tenaga dan masa demi melihat tanah air bebas daripada belenggu kuasa asing.

Detik keramat itu terpahat indah di Stadium Merdeka apabila Tunku Abdul Rahman melaungkan kata-kata keramat “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sebanyak tujuh kali, lalu menjadi simbol kebangkitan bangsa yang menolak belenggu penjajahan. Tunku pernah berpesan:

“Kita berdiri di sini sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka. Tugas kita sekarang ialah mengisi kemerdekaan itu dengan pembangunan dan kemajuan.”

Pesanan itu kekal relevan, mengingatkan kita bahawa perjuangan selepas merdeka adalah perjuangan membina bangsa dan memakmurkan negara.

Hari ini, Malaysia berdiri megah sebagai sebuah negara berdaulat yang terus melangkah ke hadapan. Kita melihat pencapaian dalam bidang pendidikan, ekonomi, teknologi, diplomasi, malah menjadi contoh kepada dunia tentang bagaimana kepelbagaian boleh menjadi sumber kekuatan, bukan perpecahan. Namun, dalam keghairahan mengejar kemajuan, jangan kita lupa bahawa sejarah adalah guru yang mendidik kita erti jatuh bangun, manakala penderitaan orang silam adalah cermin yang mengingatkan bahawa kemerdekaan tanpa penghayatan adalah rapuh.

Tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” membawa mesej yang amat mendalam. Ia mengingatkan kita bahawa kekuatan negara tidak hanya terletak pada pencapaian ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata, tetapi pada nilai kepedulian, kasih sayang, serta kebersamaan antara rakyat. Sebagaimana pejuang dahulu berjuang demi kesejahteraan anak bangsa, demikian juga generasi kini perlu memikul amanah untuk memastikan setiap insan di bumi bertuah ini disantuni, didengari dan diberi ruang untuk hidup dengan maruah.

Malaysia MADANI menuntut kita memahami bahawa kemerdekaan hakikatnya tidak lengkap jika masih ada rakyat yang tertinggal, terpinggir, atau dipinggirkan. Kemerdekaan seharusnya dirasakan oleh semua lapisan masyarakat – daripada petani di desa hingga pekerja di kota, daripada anak kecil yang menuntut ilmu hingga warga emas yang mendambakan layanan penuh hormat. Inilah erti sebenar “Rakyat Disantuni” – ketika setiap insan diberi ruang untuk menyumbang dan menikmati nikmat kemerdekaan dengan adil.

Dalam 68 tahun merdeka, generasi demi generasi menyumbang untuk menyempurnakan makna kebebasan ini. Jika generasi terdahulu berjuang dengan darah dan keringat, generasi kini pula berjuang dengan ilmu, teknologi, integriti dan kebijaksanaan. Kita perlu sedar bahawa cabaran hari ini tidak lagi berbentuk senjata dan peperangan, tetapi berupa rasuah, perpecahan, ketidakadilan dan ketempangan sosial. Inilah musuh baharu yang perlu kita perangi bersama, agar kemerdekaan ini kekal utuh.

Ketika kita melangkah ke era globalisasi yang penuh cabaran, penghayatan terhadap sejarah dan pengorbanan orang silam menjadi peringatan agar kita tidak alpa. Kemerdekaan bukanlah sekadar kebebasan politik, tetapi juga keberanian untuk membina masa depan yang adil, sejahtera, dan inklusif. Ia menuntut kita menjadi bangsa yang berprinsip, berpaksikan nilai, dan berdaya saing tanpa mengorbankan jati diri.

Maka, marilah kita renungkan: jika orang dahulu mampu berkorban demi melihat tanah air merdeka, apakah sumbangan kita pada hari ini untuk memaknai kemerdekaan itu? Jawapannya terletak pada sejauh mana kita mampu memelihara semangat perpaduan, menegakkan keadilan, serta menyantuni sesama rakyat dalam acuan Malaysia MADANI.

Artikel ini  diakhiri dengan lafaz dengan ucapan yang diajar oleh Rasulullah SAW sempena menyambut kemerdekaan:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-68.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!