Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
Dr Abdul Rashid Abdul AzizPensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Masyarakat merupakan entiti asas yang penting dalam pembangunan negara. Justeru, entiti ini perlu dibangunkan dalam usaha mencapai kesejahteraan sejagat. Dalam usaha pembangunan masyarakat ini, individu adalah intipati utama yang perlu merasai kepentingan diri mereka dalam komuniti yang didiami. Sekaligus, individu yang membentuk kumpulan masyarakat perlu diperkasakan bagi memastikan pembangunan negara mencapai keseimbangan, kemajuan dan kelestarian kepada generasi hadapan.

Arus globalisasi yang mencetus masyarakat maya di saluran media sosial dan tuntutan pemodenan teknologi melalui Revolusi Industri 4.0 perlu dimanfaatkan sebagai satu mekanisme mendepani cabaran pemerkasaan masyarakat. Lonjakan interaksi, perkongsian dan keterlibatan dalam masyarakat dapat dilakukan dengan lebih giat menerusi medium baharu ini. Maka, di sinilah peranan universiti sebagai ‘kilang’ proses keberhasilan dan melahirkan ummah terbilang dilihat penting untuk melangkah keluar bagi menangani polemik yang menghambat masyarakat menerusi pelbagai penjuru dan menjana perkembangan masyarakat agar sentiasa dinamik dan mapan.

Merakyatkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) adalah satu konsep yang perlu dipupuk dan dilaksanakan oleh setiap warga universiti ini bagi memastikan rakyat mendapat pulangan dari proses penjanaan dan kelestarian ilmu teori mahupun aplikasi. Hal ini bertepatan dengan slogan ‘University for Society-U4S” yang digagaskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025. Pelan ini meletakkan gabung-jalin beberapa elemen penting yang menjadi paksi kepada merakyatkan universiti melalui model “Quadruple Helix Engagement”.

Tuntasnya, model ini memperlihatkan kelestarian hubungan antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti dalam memberi impak kepada masyarakat bagi membentuk perubahan ilmu pengetahuan, sikap, kemahiran dan aspirasi. Bahkan entiti universiti yang dipandang tinggi oleh masyarakat seharusnya memberikan anjakan paradigma, status sosial dan ekonomi melalui hasilan produk serta perkhidmatan baharu yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Namun begitu dalam konteks merakyatkan USIM, gagasan ini perlu ditambahbaik selaras dengan nadi utama USIM dalam mengintegrasikan elemen Aqli dan Naqli.

Konsep merakyatkan USIM sebagai sebuah institusi yang didasari oleh enjin penggerak terdiri daripada ahli akademik, pelajar dan pentadbir sebagai peneraju utama yang saling berhubungkait. Malah, interaksi dalam bentuk kerjasama di antara peneraju ini penting sebagai asas dalam  mencapai aspirasi memasyarakatkan USIM. Misalnya melalui kempen USIM Kampus Barakah adalah signifikan bagi menunjukkan sumbangan dan penghasilan yang dapat dijana dalam institusi ini dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat.

Konsep memasyarakatkan universiti adalah amat penting untuk diketengahkan dalam memacu pembangunan negara dan kefungsian sosial. Ianya menjadi jambatan antara dua entiti agar tidak terpisah dan tersasar dari konsep asal penubuhan universiti sebagai komuniti ilmu yang lestari. Jika dahulu, universiti giat mempraktiskan cara tradisionalnya sebagai tempat pengajian tertinggi sehingga mewujudkan tembok yang jelas dengan masyarakat. Bahkan, dahulunya “pintu” universiti hanya terbuka semasa majlis konvokesyen berlaku atau semasa menerima jemputan rasmi universiti sahaja. Natijahnya, masyarakat semakin menjauhkan diri mereka. Namun kini, banyak universiti di Malaysia giat dalam memaksimumkan keupayaan fungsi fasiliti mereka. Misalnya, terdapat sebilangan masjid university yang kini menjadi masjid rasmi di sesuatu kawasan

Selain itu, fasiliti perpustakaan juga dilihat mampu menjadi ejen bagi menggerakkan kempen merakyatkan USIM ini dengan memberi peluang bagi orang luar untuk menikmati kemudahan perpustakaan universiti seperti rujukan dan pinjaman buku, carian jurnal artikel, ruang tempat belajar yang selesa, serta menjadikan perpustakaan sebagai ‘one-stop centre’ dalam memberi maklumat kepada masyarakat umum. Perkongsian fasiliti seperti ini dapat meraih perhatian dan sokongan masyarakat serta sekaligus menjadi pemangkin kepada hubungan baik antara universiti dan masyarakat Tambahan dari itu, pelbagai projek khidmat masyarakat perlu dirancang dan dilaksanakan untuk memastikan keberadaan, kefungsian serta sumbangan universiti kepada masyarakat dapat dicapai.

Usaha dan kempen untuk merakyatkan USIM merupakan satu aspirasi dalam mendokong peranan universiti sebagai tempat memberi manfaat kepada masyarakat untuk kemaslahatan ummah. Pelaksanaan yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seperti keterbukaan akses pendidikan kepada masyarakat dapat dijadikan sebagai sumber rujukan dalam misi memasyarakatkan universiti. Ini menyaksikan tiada dasar pengecualian kepada mana-mana kanak-kanak yang berhak untuk mendapat pendidikan seperti golongan OKU, kanak-kanak tiada dokumen, golongan B40 serta kanak-kanak orang asli. Penubuhan SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) pula merupakan rencah bagi usaha ini di mana sistem pendidikan negara diintegrasikan berdasarkan penyelesaian masalah sebenar dalam komuniti dengan teras kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati.

Di USIM khususnya, Kolej Genius Insan (KGI) adalah salah satu metod memasyarakatkan universiti. Ia merupakan kesinambungan dan perluasan dalam memartabatkan serta menjamin anak-anak Malaysia yang mempunyai bakat luar biasa dan daya intelek yang tinggi tidak tercicir dalam arus perdana. Program ini merupakan strategi menjana cendekiawan Islam dari bakat anak-anak kecil pintar dari seluruh Malaysia seawal usia 8 tahun. Manfaat dari program seperti ini dicanai dengan harapan USIM dapat melahirkan modal insan yang holistik dan mampu menjadi ejen perubahan kehidupan sosial dalam masyarakat seterusnya memberi makna kewujudan universiti. Kesimpulannya, jika universiti dapat dirakyatkan, maka kesejahteraan sejagat dapat mencapai kebersamaan melalui sinergi peranan universiti dan masyarakat yang saling melengkapi.