Mohd Shamsul Hakim bin Abd Samad
Mohd Shamsul Hakim bin Abd SamadPensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Pandemik Covid-19 memberikan kesan besar terhadap masyarakat di dunia ini dari segenap sudut kehidupan. Ia banyak merubah keadaan dan cara bermasyarakat tidak terkecuali warga akademia yang hidup di persekitaran institusi-institusi pendidikan seluruh dunia. Antara yang jelas kelihatan kesannya ialah perubahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sebelum ini dilihat lebih menekankan aspek pertemuan fizikal antara guru dan pelajar, terpaksa diubah kepada pertemuan secara maya atau atas talian. Ia turut melibatkan sesi konsultasi, penyeliaan, tugasan dan penilaiannya serta lain-lain elemen yang bersangkutan dengannya.

Bagi sebahagian warga akademia, ianya merupakan satu kejutan budaya yang besar. Namun, bagi sebahagian lain yang telah dipersiapkan dengan pembudayaan Revolusi Industri 4.0 (4IR) sekurang-kurangnya semenjak 3 tahun yang lalu, ia bukanlah satu kejutan, bahkan ia adalah sebahagian daripada adaptasi ilmu 4IR yang dicerap sebelum dari ini dan dipraktikkan dalam realiti sebenar yang telah ditelah (dijangka) bersama pakar-pakar yang lain. Suka atau tidak ia realiti yang mesti diterima dan diasimilasikan dalam budaya kehidupan hari ini. Dalam situasi ini, elemen-elemen kontra-negatif dapat dilihat daripada aspek penerimaannya oleh sebahagian daripada mereka terlibat dalam pembudayaan baharu ini, namun tidak kurang elemen-elemen pro-positif terpamer pada sebahagian yang lain.

Bagi warga USIM khususnya, antara elemen pro-positif yang dapat diketengahkan dari pembudayaan baharu ini ialah manifestasi dan penerapan unsur ihsan yang menjadi teras dalam ibadah dan mujahadah ilmu ini. Sebelum ini, acap kali kalimah ikhlas dan ihsan dibicarakan serta ditekankan dalam setiap segmen kehidupan warganya. Ikhlas yang membawa pengertian menjadikan setiap pekerjaan dalam lapangan ilmu ini adalah semata-mata mengharap keredhaan dan ganjaran dari sisi Allah SWT. Manakala ihsan yang menekankan ketekunan dan keinsafan diri warganya agar sentiasa sedar bahawa perlakuan dan tindakan yang dilakukan sentiasa berada di bawah pemerhatian dan pengetahuan Allah SWT. Ihsan ini jugalah diharap mencetuskan masyarakat akademia yang tidak bersikap ananiyah (pentingkan diri), tetapi sangat cakna dan prihatin terhadap warga yang lain.

Oleh kerana itu, alhamdulillah, kita dapat melihat kesannya di sepanjang musim pandemik Covid-19 ini. Selain pembudayaan ilmu yang terus dilangsungkan dalam budaya baharu pendidikan yang sangat memerlukan ikhlas dan ihsan ini, kita turut dapat melihat bagaimana warga akademia ini turut sama menyumbang kepada masyarakat dengan ikhlas dan ihsan seperti apa yang telah dilakukan oleh kumpulan Fast Lab, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) (sanitizer), pakar-pakar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) yang mengetuai gerak kerja menyiapkan Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE), kelas-kelas percuma tadarus al-Quran oleh warga FPQS kepada masyarakat luar di sepanjang Ramadhan yang lalu dan lain-lain. Sesungguhnya, inilah adalah peluang bagi setiap warga akademia untuk menterjemahkan maksud-maksud ilmu yang dilihat sebelum ini, dalam bentuk abstrak dan teori kepada aspek praktikal yang lebih dihayati oleh semua warganya.

Apa pun, warga akademia USIM, sama seperti yang lain, tetap dan terus bersama-sama menadah tangan dan memohon kepada Allah SWT, agar diangkat musibah ini daripada kita semua, serta dikurniakan kebaikan-kebaikan dari musibah yang didatangkan olehNya. Sesungguhnya, hanya Dialah tempat kita berharap dan hanya kepadaNyalah kita berserah.