Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd DaliPengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Di dalam siri 7, saya ada memetik ayat al Quran yang menceritakan tentang manusia berkehendakkan kepada nafsu kepada apa yang kita sukai.
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga) (Surah Al-Imran: 14).

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah telah menciptakan manusia berkehendakkan kepada wanita, anak-anak dan harta yang menjadi perhiasan dunia yang di dorongi oleh nafsu. Nafsu manusia boleh menjadi kebaikan atau menjadi keburukan jika ianya di runtuni oleh syariat agama. Jika kita tidak mempunyai nafsu maka kita tidak boleh untuk berkembang di dalam ekonomi, pembangunan dan tamadun secara amnya.

Ketiadaan nafsu, perumpamaannya manusia seperti malaikat yang tidak bernafsu. Malaikat hanya akan menurut perintah Allah sahaja tanpa ada nafsu untuk makan dan minum sebagai contohnya. Jika Allah memerintah malaikat hanya untuk memujinya atau bersujud kepadaNya, maka malaikat akan hanya akan bertasbih memuji Allah dan bersujud selamanya kepada Allah.

Penciptaan manusia, yang mempunyai nafsu sesuai dengan tugasnya sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dengan adanya nafsu, manusia akan membangunkan bandar-bandar, meningkatkan ekonomi, kecintaan untuk mempunyai keluarga dan sebagainya. Secara khususnya ada enam perkara yang disebutkan di dalam ayat tersebut yang menjadi kesukaan manusia iaitu wanita, anak-anak, emas dan perak, kuda yang terlatih atau kenderaan yang baik, binatang ternakan dan tanam-tanaman. Jika di lihat daripada keenam-enam perkara tersebut di dalam bidang ekonomi, ianya boleh memberikan ruang lingkup yang luas kepada kita.

Berbalik kita dalam mengejar cita-cita kita seperti ayat di atas, pengurusan kewangan adalah salah satu aspek penting yang perlu di tekankan. Saya ada memberikan contoh senario pendapatan dan perbelanjaan bagi 2 orang pekerja di dalam siri yang lepas iaitu A dan B dan kita dapati walaupun A mempunyai pendapatan bulanan RM10,000 sebulan dan B hanya RM4,000 sebulan, si B lebih pandai mengurus kewangannya.

Malahan si B dapat menyimpan sebanyak RM400 sebulan iaitu 10% dari pendapatannya. Apakah teknik-teknik yang membantu B untuk menabung. Apakah dengan mengetahui teknik-teknik tersebut kita sudah tentu akan dapat menabung? Bagaimana kita nak memastikan bahawa ianya menjadi suatu tabiat? Persoalan-persoalan ini saya tinggalkan untuk anda cuba cari jawapannya. Pada siri ini saya ingin berbicara tentang sesuatu yang signifikan tetapi di pandang mudah oleh kebanyakan orang iaitu belanjawan.

Setiap orang harus mewujudkan belanjawan. Walaupun anda tidak arif tentang kewangan dan tidak tahu bagaimana hendak menguruskan belanjawan, banyak kursus dan laman web yang menawarkan maklumat dan template belanjawan kewangan secara percuma bagi membantu anda menyediakan belanjawan. Secara asasnya ianya adalah anggaran jumlah pendapatan dan perbelanjaan kita setiap bulan. Setelah di tolak perbelanjaan dari pendapatan kita akan dapati bahawa samada kita mempunyai lebihan (surplus) atau kurangan (defisit).

Dengan membuat belanjawan kita akan mengetahui di mana kita menyalurkan hasil pendapatan kita dalam sebulan atau setahun. Berapa banyak yang kita salurkan untuk pembayaran ansuran rumah kediaman, berapa peratus dari pendapatan kita pergi untuk kenderaan, berapa RM untuk perbelanjaan keluarga, berapa yang kita keluarkan untuk perlindungan takaful kesihatan dan berapa yang kita belanjakan untuk hiburan dan berapa banyak yang kita infaqkan dan sedekahkan dan berapa banyak yang kita simpan untuk masa hadapan?

Ini adalah suatu cara yang terbaik untuk menguatkan lagi niat kita menabung. Dalam kebanyakan kes, orang ramai tidak tahu di mana wang mereka benar-benar disalurkan. Malah apabila mereka melihat perbelanjaan bulanan atau tahunan mereka melebihi had atau melebihi pendapatan mereka, mereka bukan sahaja terkejut, malah mereka juga perlu memutuskan untuk mengubah tabiat perbelanjaan mereka.

Berbalik kepada contoh kita antara A dan B yang saya berikan pada siri yang lepas. A mempunyai pendapatan RM10,000 tetapi mempunyai perbelanjaan yang lebih tinggi daripada pendapatannya. Setiap bulan beliau akan mengalami defisit dan defisit itu akan bertambah jumlahnya dan setiap defisit tersebut perlu ditampung oleh seseorang, bank atau agensi yang memberikan kredit. Manakala B pula dapat menyimpan RM400 sebulan dan jumlah surplus ini akan menjadi simpanan sebanyak RM4,800 setahun. Apa yang menyebabkan A tidak dapat mengawal perbelanjaannya agar tidak melebihi pendapatannya. Adakah dengan mengadakan belanjawan, A akan dapat mengawal perbelanjaannya?

Di dalam merancang kewangan, kita perlu melihat sekurang-kurangnya perancangan aliran tunai kepada perancangan lain seperti nilai bersih (networth), pengurusan risiko, cukai, zakat, pendidikan dan haji, persaraan dan perancangan estet. Kesemua ini merangkumi kepada 5 dimensi di dalam pengurusan harta iaitu penciptaan kekayaan (wealth creation), pengumpulan harta (wealth accumulation), perlindungan harta (wealth protection), pengagihan harta (wealth distribution) dan penyucian harta (wealth purification).

Walaubagaimanapun, belanjawan ini hanya perlu pada permulaan sahaja sehingga corak perbelanjaan kita telah menjadi tabiat. Yang paling mudah dilakukan ialah setiap kali kita berbelanja, kita perlu menyoal diri kita samada kita benar-benar memerlukan barangan atau perkhidmatan tersebut dan samada kita membeli aset atau liabiliti dan impaknya kepada kedudukan kewangan kita. Pada siri akan datang saya akan mengupas bentuk belanjawan yang sangat mudah untuk kita fahami. Saya juga ingin menceritakan bagaimana seorang pengembara wanita yang berasal dari Argentina, berusia 27 tahun telah mengembara selama 4 tahun ke negara-negara Asia, New Zealand dan Australia. Bagaimana beliau membuat perancangan?

BERSAMBUNG SIRI 9