Dr. Nuradli Ridzwan Shah bin Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah bin Mohd DaliPengarah Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Di dalam siri 4, saya ada menceritakan tentang perbincangan tentang isu samada kita perlu untuk menyediakan segalanya untuk anak-anak kita. Dalam perbincangan kumpulan WhatsApp alumni SMAP Labu, topik di bahas oleh beberapa rakan saya yang merupakan seorang doktor perubatan, penterjemah profesional, ustaz, usahawan pengangkutan dan pegawai undang-undang. Semua perbincangan berkisar kepada topik menyediakan harta kepada anak-anak. Saya ulang tayang apa yang di bincangkan mereka. Perbincangan adalah berasaskan kepada pendapat 2 orang wanita yang berjawatan tinggi di dalam sektor kerajaan yang tidak bersetuju untuk memanjakan anak dengan menyediakan harta kepada anak-anak mereka. Mereka mahu anak mereka berdikari dengan berusaha sendiri dan mengalami keperitan mencari kehidupan.

Penterjemah Profesional: Mereka kata simpanan untuk pendidikan anak-anak adalah keperluan kerana kos pendidikan semakin meningkat dan kita mahukan yang terbaik berdasarkan kemampuan kita jika tidak dapat biasiswa, pinjaman dan sebagainya. Tapi bukan untuk kehidupan selepas belajar. Mereka memang tidak setuju dengan kaedah beli rumah siap-siap untuk anak-anak nanti. Malah, mereka kata, pendekatan seperti itulah yang buat anak-anak “naik lemak”. Aku rasa pendekatan mereka tu macam keras tapi bila fikir-fikir balik, ada munasabahnya juga untuk jangka masa panjang. Apa pandangan kawan-kawan? Salah ke mencari harta untuk bekal anak-anak? Sebab bagi mereka, anak-anak yang dimanjakan tidak berusaha untuk dapatkan sendiri kemewahan tu. Betul ke kalau macam tu?

Peguam Syarie: Pandangan aku sama dengan makcik-makcik tu. Tapi dalam sesetengah hal perlu juga sedia untuk anak-anak. Kita mungkin berjaya sebab bersusah-payah dan berdikari. Tapi zaman sekarang, semua jenis perancangan macam tu untuk anak-anak.

Penterjemah Profesional: Ya. Kerana aku masih rasa, situasi tidak sama. Aku selalu dengar orang-orang yang berjaya dari bawah cakap, aku sendiri bekerja keras supaya anak-anak tidak perlu lalui semua yang telah aku tempuhi. Salah ke macam tu? Adakah cara yang betul ialah dengan memastikan kitaran yang sama berulang? I got it the hard way, so should you?

Peguam Syarie: Mungkin kalau nak sediakan rumah tu macam terlebih sangat, memadai dengan simpanan untuk anak-anak. Mak-mak kita dulu simpan tanah banyak-banyak.

Penterjemah Profesional: Tapi jangan terkejut. Memang ramai yang rancang sampai ke situ. Ya, mereka pun ada sebut contoh tu.. itu pun mereka tidak setuju.. Kerana nanti akhirnya, anak-anak buat perhabis sahaja. Mak ayah penat-penat kumpul duit beli tanah, dapat kat anak-anak, tidak diusahakan, nak ditambah jauh sekali, masing-masing pandai nak jual sahaja. Aku rasa contoh mereka tu tidak adil juga – macam banyak petik dari drama TV sahaja. Ada sahaja anak-anak yang usahakan tanah warisan dengan baik.

Usahawan Pengangkutan: Pada pandangan saya. Beri ilmu sahaja dan pastikan boleh mandiri. Dengan ilmu dan jati diri yang kuat, anak-anak boleh dapat apa yang mereka mahukan. InshaAllah.

Peguam Syarie: Pendapat saya, ibubapa boleh nilai anak kita jenis yang macam mana. Jadi kena pandai buat keputusan nak simpan untuk anak-anak dari segi mana.

Doktor Perubatan: Aku ada seorang rakan arkitek yang dikurniakan 6 orang anak. Setiap kali beliau mendapat cahaya mata. Dia akan cari kerja/job yang kukuh. Bila dapat pendapatan banyak… rakan saya itu akan terus beli apartmen dalam 200-300k berdasarkan harga pada tahun 1998. Tujuannya jika beliau meninggal, setiap anak dapat sebuah rumah. Secara peribadi, kalau aku meninggal… Tiada harta yang banyak melainkan sebuah rumah untuk anak dan isteri berteduh, polisi insurans dan sekeping tanah. Itu sudah memadai dan yang penting anak-anak kena belajar tentang pengurusan kewangan. Kita bermasalah sebab ibu-bapa kita kurang arif mentadbir wang dan kita membawa perangai yang sama. Kalau kita boleh pecahkan kitaran, anak-anak kita akan boleh progresif. Aku nampak kepincangan aku dalam mentadbir duit selepas aku berhenti kerja makan gaji dengan kerajaan. Aku dapati bahawa aku banyak belanja untuk yang tidak perlu. Sudah 6 tahun aku ikat perut… Buat double and triple work untuk jelas hutang tapi anak isteri susah nak memahami.

Penterjemah Profesional: Ini pun masalah aku, doktor.. haihh..

Peguam Syarie: Aku rasa semua ada masalah bab pengurusan duit ni.

Doktor Perubatan: Betul sebab kita tidak diajar. Kita belajar the hard way…Terhantuk… lebam berdarah.. baru berhenti.

Penterjemah Profesional: Tu la.. kalau ikut makcik-makcik tu, yang terbaik tu ialah dengan bagi mereka peluang berusaha sendiri dari bawah.. aku pula rasa yang terbaik ialah dengan menyediakan setakat kemampuan untuk bekalan mereka.

Doktor Perubatan: Lain orang, lain cara. 1% sahaja rakyat Malaysia menabung. Benar. Aku sendiri menabung pun selepas kepala terhantuk. Itu pun tidak banyak. 5% sahaja daripada pendapatan bulanan.

Penterjemah Profesional: Akhirnya, tiada kesimpulan daripada perbincangan kami hari tu. Ya memang aku nampak hujah-hujah mereka tu dan memang munasabah dari satu segi. Saya faham yang keras tu bukan nak menghukum anak dan sengaja nak mereka rasai kesukaran hidup. Tetapi yang nak menyediakan bekal pun bukanlah supaya anak jadi malas berusaha. Saya yakin ada jalan tengah yang boleh kita jadikan panduan.

Pegawai Undang-Undang: Maaf aku nak komen sikit tentang topik ni, baru sekarang dapat peluang nak bersuara. Sebahagian aku setuju dengan pendapat mereka, anak-anak perlu tahu erti kesusahan dan perlu diajar bagaimana susah nak hidup. Secara tidak langsung aku juga setuju dengan Peguam Syarie yang kita kena sedia untuk masa depan anak-anak…Penterjemah Professional juga ada pandangan yang bernas yang mana kita tidak mahu anak-anak melalui kesukaran seperti mana yang kita lalui… pendapat Usahawan Pengangkutan harus di ambil kira bahawa anak-anak perlu di beri ilmu yang secukupnya. InsyaAllah dengan ilmu dan jati diri yang kuat, anak-anak akan dapat apa yang mereka mahukan. Kita perlu tekankan betapa pentingnya ilmu. Masa kecil dahulu, ibuku mengajar bahawa ilmu tu penting, dia la yang piat telinga aku ni untuk pastikan aku belajar, dalam masa yang sama, aku belajar akan erti kesusahan ibu bapa untuk membesarkan dan memberi pelajaran, jadi sekarang aku tidak mahu anak-anak aku mengalami kesusahan yang aku alami semasa aku belajar dulu, banyak benda yang aku terpaksa catu semasa belajar dulu. Nasi lemak yang dibeli masa pagi, dimakan separuh sahaja, lepas tu tengah hari sambung makan lagi separuh. Masa di universiti aku dan rakan-rakan makan nasi dalam dulang, sebab nak berjimat. Alhamdulillah, sekarang dapat menolong keluarga, namun yang menyedihkan ialah bila ibu-bapaku terlalu memanjakan adik-adik dengan kemewahan. Hampir kesemua kehendak mereka ditunaikan hingga mereka abaikan pelajaran. Sebab tu aku sokong sebahagian cara makcik-makcik tu.

Ustaz: Ada sedikit pandangan aku, bukan orang ekonomi…bagi aku, aku setuju dengan 2 perempuan tu. Namun kalau aku memang senang dapat duit dan banyak duit, aku akan belikan apa-apa sahaja kemudahan untuk anak anak (syarat duit banyaklah) terutama untuk pendidikan. Cuma kalau belikan sebuah rumah, mungkin tidak perlu, terutama kalau kepada anak perempuan. Ini untuk mengelakkan anak-anaknya dari berasa tidak puas hati sebab rumah mereka lain-lain harga, lokasi dan bentuk. Memang sukar kita untuk berlaku adil dengan anak-anak sebab masing-masing ada ciri-ciri tersendiri, yang menyebabkan kita kalah dengan mereka. Malah dalam Al-Quran ada disebutkan yang anak-anak Nabi Yaakub terasa hati dengan beliau. Apatah lagi kita. Yang boleh pun cuba seadil-adilnya tetapi agak sukar kalau kita mempunyai anak yang ramai.

Penterjemah Profesional: Apa pandangan ustaz kalau ibu bapa cari harta untuk bekal anak-anak?

Ustaz: Bagi ilmu dunia dan akhirat. Ibu atau bapa mesti ceritakan kesusahan mereka, datuk dan nenek mereka dahulu cari ilmu, duit. Sesekali kena tahan keinginan mereka sambil ajar kenapa. Yang paling penting jika anak-anak kita adalah anak-anak yang soleh dan solehah. InsyaAllah semua akan jadi mudah.

Pada siri akan datang saya akan mengupas adakah kita perlu mempunyai pendapatan yang besar?

BERSAMBUNG SIRI 6