Dr. Kartini Kamaruzzaman
Dr. Kartini Kamaruzzaman Pensyarah Kanan Program Komunikasi Media Baharu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Sistem pendidikan tinggi Malaysia kini sedang melangkah ke satu fasa transformasi yang amat signifikan melalui pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035. Dokumen strategik ini, yang diluncurkan sebagai pengganti kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi), bukan sekadar sebuah pelan operasi rutin, malah ia merupakan manifestasi tindak balas negara terhadap gangguan global atau ‘global disruption’ yang dicetuskan oleh kemajuan pesat kecerdasan buatan (Artifical Intelligence) dan ekonomi digital. Ia turut bertindak sebagai rangka tindakan yang mencerminkan kelangsungan negara dalam mendepani gelombang teknologi yang kian pantas dan tidak berkompromi.

RPTM memberi fokus yang lebih khusus kepada ekosistem institusi pengajian tinggi (IPT) merangkumi aspek akses, kualiti, kebolehpasaran graduan serta kesiapsiagaan teknologi masa hadapan. Dalam kerangka ini, RPTM 2026–2035 meletakkan asas bagi pembentukan universiti ‘generasi keempat’ yang tidak hanya memfokuskan kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan, dan komuniti semata-mata, tetapi juga kepada pembentukan insan yang seimbang melalui nilai kemanusiaan. Di USIM, tumpuan pembinaan nilai-nilai insan ini dilihat penting melalui integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Sekaligus, membawa kita meneroka dimensi kritikal RPTM dengan penekanan khusus kepada pemerkasaan teknologi digital serta implikasi sosial daripada inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Kerangka Strategik RPTM 2026–2035: Menelusuri Gelombang Transformasi

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dirangka berdasarkan keperluan untuk mewujudkan sistem pendidikan yang lebih berdaya tahan (resilient), adaptif, dan berdaya saing di peringkat global. Pengalaman menguruskan dan menghadapi pendidikan semasa pandemik COVID-19 telah membuktikan bahawa transformasi digital bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak yang memerlukan strategi transformatif untuk memperkukuh sistem sedia ada.

Pelaksanaan RPTM dibahagikan kepada tiga gelombang utama yang dirancang untuk memastikan reformasi pendidikan berlaku secara berperingkat dan mampan. Gelombang pertama, yang dikenali sebagai “Cetus” (2026–2028), memberi tumpuan kepada pengukuhan asas tadbir urus seperti melalui inisiatif Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA) serta rangka asas etika dan penghayatan nilai dalam pendidikan. Selari dengan itu, USIM mempraktikkan pendekatan integrasi Naqli dan Aqli dalam kurikulum, penyelidikan dan penglibatan komuniti, menjadikannya contoh awal bagaimana etika, nilai dan kemanusiaan boleh disepadukan secara sistemik dalam pendidikan tinggi. Sumbangan USIM dalam fasa ini bukan sahaja bersifat konsep, tetapi dalam pelaksanaan, khususnya dalam menyediakan model tadbir urus akademik dan reka bentuk kurikulum yang menekankan nilai-nilai dan etika.

Gelombang kedua, “Pacu” (2029–2031), akan menyaksikan pemacuan inovasi dan transformasi struktural yang lebih agresif melalui bakat kepimpinan, pemerkasaan hubungan dengan industri dan komuniti. Fasa ini juga menggerakkan inisiatif kemampanan pendidikan seperti melalui pendidikan anjal, micro-credential serta  pengajaran dan pembelajaran dengan penerapan kecerdasaran buatan Manakala gelombang ketiga, “Tingkat” (2032–2035), bertujuan untuk mengekalkan kecemerlangan dan menjadikan perubahan tersebut sebagai sebahagian daripada identiti sistem pendidikan negara. Ini termasuklah pemerkasaan pendidikan di kawasan terpinggir dan kurang mendapat akses kepada pendidikan.

Pendekatan seperti libatsama masyarakat melalui ‘Da’wah Tatbiqi’ bersama masyarakat kampung orang asli, pelaksanaan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bersama komuniti bandar dan luar bandar yang diterapkan melalui kurikulum pendidikan, serta program pendidikan berasaskan Work-Based Learning (WBL) yang terdapat di USIM merupakan contoh inisitif yang mendokong kepada kerjasama insitutsi pendidikan bersama masyarakat, agensi kerajaan, bukan Kerajaan dan industri. Inisiatif ini memperlihatkan bagaimana USIM berperanan sebagai jambatan antara pengetahuan akademik dan realiti masyarakat sebenar yang mendokong aspirasi RPTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten secara teknikal, tetapi juga mempunyai kesedaran sosial dan kemahiran menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Pemerkasaan Teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan

Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) telah dikenal pasti sebagai pemangkin utama dalam RPTM 2026–2035. Lonjakan 8 ‘Pendidikan Fleksibel dan Pembelajaran Sepanjang Hayat’ yang secara khususnya menekankan pemerkasaan penguasaan ‘AI’ sebagai satu keperluan asas bukan lagi sekadar isu teknikal yang perlu dipelajari dan dikuasi. Penguasaan ilmu ini bukan sahaja memfokuskan kepada pelajar, tetapi keupayaan pendidik untuk meningkatkan kemahiran kecerdasan buatan seiring dengan hasrat Kerajaan Malaysia yang mensasarkan penghasilan 200,000 pakar ‘AI’ menjelang tahun 2030 melalui inisiatif MY AI NEXUS. Inisiatif ini sudah tentunya memerlukan penglibatan aktif institusi pendidikan tinggi untuk tidak ketinggalanmenyesuaikan kurikulum dengan keperluan industri masa hadapan.

Integrasi ‘AI’ dalam pendidikan tinggi membawa perubahan besar dalam cara pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan. ‘AI’ membolehkan pembelajaran berlaku secara personal (personalized learning), di mana sistem dapat menyesuaikan kandungan pembelajaran mengikut tahap kefahaman dan gaya pembelajaran setiap pelajar secara individu. Walau bagaimanapun, cabaran besar yang timbul adalah berkaitan dengan integriti akademik dan etika. Penggunaan AI dalam menyiapkan tugasan atau penyelidikan menuntut kerangka etika yang jelas bagi memastikan keaslian ilmu dan kematangan berfikir mahasiswa tetap terpelihara.

Peranan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Integrasi Ilmu Naqli Aqli

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mempunyai kedudukan yang unik dalam RPTM 2026–2035 melalui falsafah Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (INAQ). Dalam mendepani cabaran kecerdasan buatan, USIM melihat teknologi tersebut bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai alat yang perlu dipandu oleh nilai-nilai wahyu (Naqli) dan rasionaliti manusia (Aqli). Konsep ini memastikan bahawa kemajuan teknologi sentiasa selari dengan Maqasid Shariah dan nilai-nilai kemanusiaan universal.

Salah satu sumbangan signifikan USIM adalah melalui pembangunan “AI Syariah”. Inisiatif ini bertujuan untuk memanfaatkan algoritma AI dalam menyelesaikan persoalan hukum Islam yang kompleks, seperti pengurusan faraidh, penentuan status halal secara masa nyata, dan bimbingan ibadat. Kemajuan teknologi seperti ‘AI’ juga diterapkan dalam kurikulum seperti kursus Produksi Animasi yang memboleh kemahiran AI diintegrasikan sebagai alat sokongan kreatif menjana jalan cerita dan mereka bentuk watak, serta dalam kursus kempen digital yang membantu analisa sentiment dan sasaran khalayak. Dengan mengintegrasikan elemen kecerdasan buatan (AI), USIM bukan sahaja memenuhi tuntutan RPTM untuk digitalisasi kampus, tetapi juga menyediakan penyelesaian praktikal kepada ummah global.

Cabaran Pelaksanaan dan Masa Hadapan

Walaupun RPTM 2026–2035 menawarkan visi yang komprehensif, terdapat beberapa cabaran kritikal yang perlu ditangani bagi memastikan kelestarian reformasi ini. Pertama, isu kemampanan kewangan. Walaupun kerajaan Malaysia menyediakan pelbagai inisiatif pendidikan percuma, universiti perlu mempunyai keupayaan untuk menjana pendapatan sendiri bagi menyokong kos operasi teknologi yang tinggi selain bergantung dari bergantung kepada sumber tertentu. Kedua, risiko ‘kebergantungan teknologi’ di mana penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang meluas tanpa panduan asas  dan etika yang kukuh boleh menyebabkan pengguna hilang keupayaan untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Di sinilah peranan integrasi ilmu Naqli dan Aqli menjadi sangat penting sebagai “kompas epistemologi”.

Secara keseluruhannya, RPTM 2026–2035 merupakan satu langkah berani untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi yang inklusif, mampan, dan berdaya saing di persada global. Fokus kepada teknologi dan kecerdasan buatan yang diimbangi dengan nilai-nilai kemanusiaan dan integrasi ilmu merupakan formula yang tepat untuk melahirkan modal insan yang bukan sahaja kompeten secara teknikal, tetapi juga beradab dan bertanggungjawab.

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 berdiri sebagai mercu tanda transformasi pendidikan negara yang holistik. Melalui integrasi teknologi digital, pemerkasaan bidang strategik, dan komitmen terhadap inklusiviti, Malaysia sedang membina sebuah sistem yang bukan sahaja responsif kepada perubahan zaman tetapi juga mementingkan kesejahteraan rakyat. USIM memainkan peranan penting dalam menterjemahkan aspirasi ini melalui lensa integrasi ilmu. Pemerkasaan kecerdasan buatan yang beretika, kesediaan infrastruktur yang lestari, dan peningkatan kemahiran staf akademik dan mahasiswa merupakan tunjang utama yang akan menentukan kejayaan pelan ini dalam jangka masa panjang. Dengan kerjasama strategik antara kerajaan, universiti, industri, dan masyarakat, Malaysia mampu merealisasikan impian untuk menjadi negara yang makmur melalui pemerkasaan ilmu dan teknologi yang berpaksikan kemanusiaan.