Dr. Khairunneezam Mohd Noor
Dr. Khairunneezam Mohd Noor Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP)

Tradisi dijunjung kerana kemuliaannya,
Inovasi dicerna menambah citra;
Tradisi dipelihara inovasi membara,
Membawa hasil lebih bermakna.

Tradisi atau adat dalam pengertian yang paling mudah adalah sesuatu yang telah dilakukan sejak sekian lama dan menjadi sebahagian daripada kehidupan sesuatu kelompok masyarakat. Menurut Gazalba dalam karyanya bertajuk Pengantar Kebudayaan Sebagai Ilmu, tradisi kebiasaannya mendasari kerangka sesebuah negara, sesuatu kebudayaan, amalan hidup seharian, undang-undang atau kawalan, generasi, atau ajaran agama yang sama. Tradisi seringkali berpindah tangan daripada satu generasi ke generasi yang lain melalui pembudayaan aktiviti harian, penceritaan lisan, mahu pun pewarisan tradisi secara bertulis. Inilah antara elemen penghubung yang memungkinkan sesuatu tradisi itu seakan-akan ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Namun, ada kalanya, sesuatu tradisi itu mempunyai kelompongan dan kekurangan, yang anehnya, ditelan sahaja oleh pendukungnya, walau pun mereka tahu kesan dan akibatnya adalah tidak memihak kepada mereka bahkan merosak dan membinasa. Tradisi ada kalanya menyebabkan sesuatu keadaan itu statik, jumud dan tiada elemen pembaharuan yang nyata. Tidak kena gayanya, tradisi menghalang pembangunan dan perubahan, mendidik generasi tidak berkeupayaan dan menjadi seumpama ‘katak bawah tempurung’. Bahkan juga, tradisi dalam konteks tertentu mampu menyemarak rasa lesu, tiada daya usaha, dan merencatkan fikiran. Ada tradisi yang pelik bahkan jelik, tapi atas nama ‘pewarisan’, ia harus ditelan dan dilaksana bulat-bulat atau secara totok.

Maka, lahirlah di sana sini, golongan-golongan insan yang menyedari betapa tradisi jika tidak ‘dimurnikan’ akan terus bobroklah kehidupan para pewarisnya. Bukanlah mereka ini cuba mengubah tradisi, adat dan kebiasaan, sehingga mahu dicap sebagai golongan atau generasi kurang ajar dan membelakangkan budaya yang diwarisi. Namun, atas kesedaran sesetengah pihak dalam kalangan kita ini, maka terbinalah kehendak dan usaha untuk melentur logiknya tradisi, demi membuahkan kesan yang baik dalam kehidupan sehari-hari. Mereka mengadun citra dalam tradisi melalui pengubahsuaian, sama ada sedikit atau banyak, demi kebaikan ummah, demi kehidupan yang lebih baik dan demi membuahkan hasil yang bermakna melalui apa yang dipanggil sebagai inovasi.

Dalam memperihalkan mengenai inovasi, Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan inovasi sebagai ‘sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat, dan seumpamanya yang baru’. Begitu jualah dalam urusan kehidupan manusia sehari-hari, sememangnya sesuatu yang telah menjadi adat atau tradisi akan mengalami proses transformasi dari semasa ke semasa melalui usaha-usaha inovasi yang tuntas dan menambah baik proses dan hasil.

Misalannya, sistem tradisional penanaman padi di tanahair yang sejak dahulu mengamalkan penanaman dalam dua musim iaitu musim bersawah dan musim menuai. Bermula dengan proses penyediaan tapak semaian dan penyediaan benih padi sehinggalah ke proses menuai yang memerlukan segenap tenaga pesawah untuk mengetam, mengiau padi, mengerat, menghirik, dan menggunakan kerbau sehingga terhasilnya beras. Tradisi penanaman sebegini, tidak akan dapat menghasilkan pengeluaran beras semaksimum yang mungkin dalam setahun. Namun, dengan suntikan inovasi melalui penggunaan teknologi dan pengubahsuaian tradisi, penanaman padi berjentera memastikan para pesawah mendapat pulangan yang berlipat kali ganda dan lebih lumayan. Masyarakat secara amnya meraih ruang mendapatkan bekalan beras yang banyak dan murah. Inilah kebaikan yang dapat diraih hasil inovasi, kreativiti dan suntikan penggunaan teknologi.

Kita seharusnya memiliki weltanschauung atau pandangan menyeluruh mengenai dampak positif inovasi terhadap kehidupan manusia dan alam sejagat. Ada pandangan tertentu dalam kalangan masyarakat bahawa inovasi mencemar kesucian dan kemurnian leluhur tradisi. Inovasi ditafsir sebagai usaha mengubah kebiasaan dan adat yang dipegang daripada generasi ke generasi yang mampu membunuh peradaban bahkan nilai keislaman.
Dari sisi pandang Islamik bagi sesetengah kita, inovasi diumpamakan bidaah. Sabda Rasulullah SAW mengenai bidaah yang bermaksud:

“Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad. Sejelek-jelek perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap (perkara agama) yang diada-adakan itu adalah bidaah, setiap bidaah adalah kesesatan.” (Riwayat Muslim)

Sememangnya Islam mencela sebarang usaha bidaah, namun celaan itu hanya tertakluk kepada hal ehwal ibadah. Misalnya, larangan menambah, mengurang atau mengubah tatacara, rukun, syarat dan hukum dalam ibadah. Tidak pula pada pada muamalah atau urusan kehidupan manusia sehari-hari, Islam sangat menekankan kemampuan umatnya untuk berinovasi dalam ruang lingkup yang mematuhi pra-syarat Maqasid al-Syariah seperti mana yang dibincangkan secara mendalam oleh Imam al-Ghazali. Ruang lingkup tersebut adalah mencakupi pemeliharaan agama (hifz al-din), pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs), pemeliharaan akal (hifz al-a’ql), pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl), dan pemeliharaan harta (hifz al-mal), dan sebarang inovasi yang menyantuni kelima-lima ruang lingkup Maqasid al-Syariah ini walau pun ia mungkin tidak sehaluan dengan tradisi setempat, tetap diraikan oleh Islam.

Dalil naqli dalam memperihalkan dampak positif inovasi ini adalah seperti mana yang difirmankan Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum hingga mereka mengubahnya sendiri.” (Surah al-Ra’d, ayat 11)

Peringatan Allah SWT ini mengandung motivasi untuk kita bereksperimentasi dengan perubahan atau inovasi dalam pelbagai aspek kehidupan agar manusia tidak tertinggal ketika sesuatu bangsa atau komuniti manusia yang lain telah jauh maju dan berkembang.

Rasulullah SAW sendiri juga pernah bersabda, mafhumnya:

“Barang siapa melakukan hal baru yang baik maka ia mendapat pahalanya dan mendapat pula pahala orang lain yang mengerjakan hal baru yang baik itu.” (Riwayat Muslim)

Hadis Rasulullah SAW ini memberikan isyarat yang jelas bahawa sesiapa yang berupaya untuk membawakan sesuatu pembaharuan dan penambahbaikan dalam apa sahaja pun perkara dengan berkreativiti dan berinovasi, selagi ianya adalah demi kemaslahatan ummah, maka ganjaran pahalalah yang akan diterima oleh seseorang itu.

Lihat sahajalah ilmuan-ilmuan Islam yang terkenal dan tersohor kerana ketinggian nilai keimanan dan keluasan ilmu pengetahuan serta kehebatan penemuan-penemuannya. Abu Nasir Muhammad bin al-Farakh al-Farabi (Al-Farabi) sangat terkenal dengan penemuan inovasi dalam ilmu matematik, teologi, politik dan ilmu logik. Kemudian, Abu Abdullah Muhammad Ibnu Jabir (Al Battani) merupakan tokoh yang ahli dalam ilmu astronomi, trigonometri dan mental arithmetik. Begitu juga Abu Ali al-Husayn bin Abdullah Bin Sina (Ibnu Sina) yang merupakan pakar falsafah ilmu dan bapa ilmu kedoktoran moden.

Sekadar menamakan beberapa tokoh ilmuan Islam ini, secara tuntasnya dapat dimanifestasikan bahawa inilah manusia-manusia hebat yang berjaya mengangkat dan menjulang nilai tradisi dan dalam masa yang sama mampu mengembangluaskan ertinya ilmu pengetahuan melalui proses berevolusi dan berinovasi. Sehinggakan, Alhamdulillah, umat manusia di seluruh dunia menerima kesan positif hasil penemuan dan ilmu mereka. Para ilmuan Islam ini seakan mewariskan kepada kita generasi-generasi selepas era mereka akan kepentingan mensinergikan roh yang ada dalam tradisi dengan tenaga yang dibawa dalam inovasi.

Dalam dunia pendidikan, inovasi merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan, bagai kata bidalan ‘bagai aur dengan tebing’. Ini adalah kerana, pendidikan merentasi arus peredaran zaman perlu sentiasa berevolusi dan berkembang senada dan seirama dengan teknologi, sofistikasi dan ekosistem terkini dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pernah menyebut dalam beberapa siri ucapan rasminya berkenaan inovasi. Katanya, inovasi dan kreativiti tidak boleh diajar secara teoretikal semata-mata dalam bentuk mata pelajaran dan kurikulum dalam kelas. Akan tetapi ia boleh diterap secara tidak langsung melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang. Dengan kata lain, inovasi boleh diperihalkan oleh pendidik melalui pendekatan pengajaran yang berpusat kepada pelajar (student-centred learning).

Akan hal ini, penulis mengambil contoh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sendiri, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang mencerna sinergi paduan ilmu naqli dan aqli, inovasi dalam pendidikan merupakan antara teras kekuatan yang terserlah dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Tradisi pengajaran terutamanya berlandaskan Islam melalui nilai-nilai akhlak dalam berguru, rujukan kepada kitab agung al-Qur’an, Sunnah Rasulullah SAW, kitab-kitab thurath, serta warisan ilmu ulama-ulama Islam adalah sangat kuat berakar di sanubari warganya. Kaedah mujadalah atau perdebatan secara bersopan melalui pendekatan adab al-ikhtilaf (adab dalam perbezaan pandangan) mencerminkan betapa tradisi keilmuan Islam dijunjung sebaik mungkin di ‘Kampus Barakah’ ini. Pun begitu, USIM turut menggembleng segenap kepakaran ahlinya dalam memperihalkan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil inisiatif-inisiatif pembugaran aplikasi sains dan teknologi semaksimum mungkin untuk mengukuhkan dan merancakkan tradisi keilmuan yang sedia ada.

Misalannya, sistem pembelajaran Global Open Access Learning System (GOALS) merupakan sistem e-pembelajaran yang sofistikated, terkini dan menarik kecenderungan pelajar USIM untuk lebih fokus dalam pengajian mereka dalam kesemua subjek pengajian. GOALS merupakan revolusi dan inovasi kaedah pembelajaran yang memudahkan ahli akademik menyampaikan sumber ilmu mereka dan penerimaan ilmu tersebut oleh para pelajar dengan total, sistematik, penuh variasi dan mengaplikasikan sebaiknya sumber teknologi terkini. Kesan positif inovasi GOALS ini sangat jelas. Pelajar dapat mengakses nota dan maklumat dari mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa dengan lebih mudah. Ahli akademik pula mempunyai ruang untuk mendidik dan berinteraksi dengan pelajar dalam ruang lingkup yang lebih kreatif dan tidak hanya tertakluk dalam contact hours atau jam pertemuan di bilik kuliah semata-mata.

Usaha USIM ini, adalah bukti betapa sinergi antara tradisi dan inovasi akan mencetuskan ledakan potensi kejayaan yang lebih bermakna dan berbekas. Hasil paduan tradisi dan inovasi ini perlu dijadikan resam hidup dalam memenuhi aspirasi ummah dalam meningkatkan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Asalkan saja inovasi itu tidak melangkaui sempadan dan batas syariat Islam dan budaya bangsa, pasti tradisi yang diwarisi itu akan kekal terjaga dan dijunjung, seperti mana peribahasa Melayu mengingatkan kita, ‘yang lama dikelek, yang baharu didukung’.

Lebat daun bunga tanjung,
Berbau harum bunga cempaka;
Tradisi dijaga adat dijunjung,
Baru terpelihara hidup sejahtera.

Tradisi dijaga adat dijunjung,
Baru terpelihara hidup sejahtera;
Inovasi dicetus pembaharuan diapung,
Menambah nilai tradisi nan mulia.

Penulis merupakan pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kualiti (Kategori Akademik) bersempena Sambutan Hari Kualiti dan Inovasi USIM 2017 anjuran Pusat Perancangan Korporat & Pengurusan Kualiti bertemakan Tradisi Dipelihara Inovasi Membara.