Muhammad Zaid Abdul Karim
Muhammad Zaid Abdul KarimYang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar sesi akademik 2021/2022

Penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun menyebabkan pelbagai pihak memperkatakan mengenai pengaruh dan kesan Undi18 terhadap pola pengundian dalam pilihan raya.

Pada peringkat awal, kehadiran Undi18 yang buat kali pertama bakal mengundi dikatakan akan memberi impak besar terhadap perjalanan pilihan raya, termasuk dari segi pemilihan calon, isu kempen dan lebih penting ialah keputusan pilihan raya itu sendiri. Kehadiran Undi18 diuji dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka yang lalu. Walaupun buat kali pertama mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun boleh mengundi dalam PRN Johor, kadar peratusan keluar mengundi, terutama pemilih muda tidak seperti yang diharapkan.

Daripada 54.92 peratus keseluruhan keluar mengundi yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi muda dianggarkan hanya di bawah lima peratus. Pelbagai analisis diberikan terhadap kadar keluar mengundi yang rendah itu, tetapi tiada siapa berani menafikan bahawa faktor pengundi muda kekal relevan dalam PRU-15.

Ini menyebabkan parti politik secara berterusan memberi fokus terhadap pengundi muda, terutama untuk menggalakkan mereka keluar mengundi. Ketika persidangan Parlimen, antara soalan popular ditanya ialah sejauh manakah usaha kerajaan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pengundi muda keluar mengundi. Begitu hebat kuasa pengundi muda. Namun benarkah pengundi muda akan memberi kesan besar terhadap keputusan PRU-15 akan datang?

Kebanyakan pihak hanya memberikan gambaran secara umum, iaitu pengundi muda sangat penting, tetapi kajian penyelidik Institut Yusof Ishak (ISEAS) di Singapura, James Chai, boleh membuka persepsi lebih luas terhadap kuasa pengundi muda. Secara umum, Undi18 sepatutnya memperkasakan generasi pengundi baharu. Namun, realitinya tidak semua undi belia mempunyai nilai yang sama. Menurut James, pengundi muda perlu dilahirkan di tempat yang betul untuk mereka memberikan impak yang besar terhadap sistem politik negara.

“Jika pengundi muda berasal dari kawasan majoriti Cina, bandar dan makmur dari segi ekonomi seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur atau Selangor, kemungkinan undi pengundi muda tidak akan membawa perubahan.

“Bagaimanapun, jika pengundi muda dari kawasan majoriti Melayu, separuh bandar dengan ekonomi dan perkhidmatan awam yang agak lemah, maka kemungkinan pengundi muda akan menjadi sebahagian faktor perubahan di kawasan itu,” katanya.

Ini berikutan pengundi muda tidak tersebar secara sekata di semua kawasan Parlimen, tetapi mereka lebih tertumpu di kawasan bandar menyebabkan kuasa mengundi mereka berbeza mengikut geografi. Ini bermakna dalam PRU-15, parti politik perlu menganalisis jumlah pengundi muda di sesuatu kawasan Parlimen untuk mengenal pasti strategi kempen yang tepat.

Apabila kita mempersoalkan berkenaan kewajipan mengundi, mengundi bukan sahaja memilih pemimpin bagi pihak rakyat, bahkan tanggungjawab mengundi adalah melantik wakil rakyat untuk melaksanakan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar yang menjadi tonggak penting dalam menjaga jati diri umat melalui kekuasaan atau bersuara dan menentukan sikap. Mengundi juga adalah menjadi hakim terhadap kerajaan dengan melakukan hisbah di sepanjang penggal pemerintahannya.

Konsep ini bersandarkan kepada firman Allah dalam surah ali imran ayat 104:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran: 104).

Hanya Muslim tanpa pedulikan maruah umatnya sahaja tidak mahu mengundi.

Padi bukan sebarang padi,
Padi ditanam di dalam sawah,
Mengundi bukan sebarang mengundi,
Mengundi kerana pertahan maruah.

Justeru saya mewakili mahasiswa di malaysia ingin menyeru kepada golongan muda khususnya yang boleh mengundi untuk menjalankan kewajipan anda dengan sebaiknya dan pilihlah pemimpin yang boleh manjaga kebajikan rakyat serta boleh membawa syiar islam itu kembali bersinar di muka bumi allah ini.