NILAI, 27 OKT 2015 – Bertemakan Wasatiyyah Dalam Pengharmonian Undang-Undang (Exploring Wasatiyyah Approach in the Harmonisation of Syariah and Common Law), bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk menerapkan ciri-ciri wasatiyyah dalam perundangan Malaysia,Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) buat kali ke-3 telah menganjurkan 3rd International Seminar on Syariah and Common Law (ISCOL) 2015 pada 27 dan 28 Oktober 2015 bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM. Seminar kali ini turut mendapat kerjasama dari Institut Wasatiyyah Malaysia.

Seminar ini dihadiri seramai 300 peserta dengan sebanyak 84 kertas kerja dibentangkan dalam pelbagai tajuk dalam bidang undang-undang versi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab serta mengumpulkan ahli akademik, hakim-hakim mahkamah, pengamal undang-undang, penyelidik dan para pelajar dari pelbagai institusi dan negara.

Perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki,Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mewakili Timbalan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad berkata seminar ini diharap dapat memberi manfaat dan faedah kepada seluruh masyarakat tentang isu-isu yang berbangkit serta menggalakkan persefahaman yang lebih kukuh mengenai isu-isu etika, prinsip undang-undang dan amalan yang wujud dalam undang-undang syariah dan common law. Ia juga menyediakan platfom yang sesuai bagi menyebarkan pemikiran kritikal di kalangan ilmuan yang berkepakaran dalam bidang syariah dan common law.

“Selain itu, ia membangunkan model atau kaedah persefahaman yang relevan dengan mengambil kira pendapat dan pendekatan wasatiyyah dalam syariah dan common law. Tambahan ia membantu mempromosikan Common Law Malaysia berdasarkan agama, budaya hidup dan kesesuaian dengan tradisi tempatan dalam mengharungi cabaran semasa dalam masyarakat Malaysia”, jelas Dato’ Musa dalam ucapan perasmian penutup ISCOL.

Ucaptama disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tun Ariffin Zakaria (Dato’ Lela Negara) dengan tajuk ”Judicial Attitudes Towards Malaysian Common Law Post 1956”.

Turut hadir sama pada majlis perasmian ISCOL Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Penerbitan) Institut Wasatiyyah Malaysia Dr. Mushaddad Hasbullah mewakili Tan Sri Dr. Adbullah Muhammad Zin, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia dan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang Dr. Syahirah Abdul Shukor.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204