TERENGGANU – Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi sekali lagi membuktikan bakat dan kewibawaannya dalam seni deklamasi puisi apabila dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-40 Peringkat Negeri Terengganu 2026 pada 25 Julai 2026 baru-baru ini.

Nik Faruqi yang turut aktif bersama kumpulan KHUPAS Angkatan Seni Budaya menampilkan persembahan puisi “Rumah Bangsa” karya Ahmad Zauawi Che Cob dalam pertandingan yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu.

Pertandingan berprestij itu dianjurkan bersama oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur serta Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA).

Kemenangan tersebut lebih bermakna apabila beliau berjaya mengekalkan fokus dan komitmen terhadap seni deklamasi puisi meskipun sedang melalui tempoh peperiksaan semester. Minat yang mendalam terhadap bidang berkenaan mendorong beliau mengimbangi tuntutan akademik dengan latihan secara konsisten.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan Nik Faruqi mewakili negeri Terengganu ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan kali ke-40 yang dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Kuching, Sarawak. Penyertaan tersebut juga menandakan kemunculan beliau buat kali kedua di pentas kebangsaan SDPK.

Selain Nik Faruqi, USIM turut menghantar beberapa wakil mahasiswa untuk menyertai SDPK di peringkat negeri, antaranya Abdul Rasmin Abdul Rahman di Selangor serta Naurah Mursyidah Naili Nasir di Perak.

Pencapaian itu mencerminkan kesungguhan dan potensi mahasiswa USIM dalam bidang seni budaya serta kesusasteraan Melayu, khususnya seni deklamasi puisi, selain membuktikan kemampuan mahasiswa universiti untuk bersaing di pentas kebangsaan.

Ia turut meneruskan tradisi kecemerlangan USIM dalam SDPK apabila wakil universiti secara konsisten berjaya melangkah ke peringkat akhir kebangsaan sejak 2018. USIM telah mencatat penyertaan ke peringkat akhir pada tahun 2018, 2020, 2023, 2024, 2025 dan 2026, sekali gus memperkukuh reputasi universiti dalam melahirkan bakat deklamator berkualiti.

Oleh: Muhammad Zamratur Rahman Yussri