NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) terus memperluas kepakaran Quran Isyarat ke peringkat antarabangsa menerusi penganjuran Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat Tahap 1 bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei dan Perusahaan Jari-Jariku Brunei.
Kursus yang berlangsung dari 10 hingga 12 Ogos 2026 di IshaRI Lounge USIM itu menghimpunkan 21 peserta daripada kedua-dua institusi bagi meningkatkan pengetahuan dan kompetensi guru sebagai persediaan mengajar Quran Isyarat kepada komuniti OKU Pendengaran di Brunei, khususnya Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).
Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan ilmu dan kemahiran khusus berkaitan pengajaran Quran Isyarat, selain mengikuti latihan berkumpulan serta penilaian kompetensi.
Kursus Tahap 2 pula akan memberi tumpuan kepada kemahiran guru dalam melaksanakan pengajaran menerusi strategi, pendekatan, kaedah dan teknik yang inovatif serta inklusif.
Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Prof. Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd Raus berkata, penganjuran kursus itu memperlihatkan usaha berterusan USIM dalam memastikan komuniti OKU Pendengaran mendapat akses kepada pendidikan al-Quran melalui pendekatan yang mengambil kira potensi dan kelainan upaya pembelajaran mereka.
“USIM melalui UMMI bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelidikan inklusif dan perkhidmatan OKU, malah membina ekosistem yang menghubungkan perkhidmatan, penyelidikan, latihan, inovasi dan pemindahan ilmu bagi menyokong pendidikan Quran yang lebih inklusif,” katanya.
Sementara itu, pengasas Perusahaan Jari-Jariku Brunei, Dr. Hajah NorBayah Haji Shahman berkata, kerjasama bersama USIM didorong oleh keperluan untuk memperkasakan komuniti Orang Pekak di Brunei agar mereka turut mendapat akses yang lebih mudah dan bermakna kepada pembelajaran al-Quran.
“Dorongan utama saya dan Team Jari-Jariku ialah keperluan untuk memperkasakan Orang Pekak di Brunei supaya mereka juga mempunyai akses yang lebih mudah dan bermakna kepada pembelajaran al-Quran.
“Kami melihat USIM sebagai institusi yang mempunyai kepakaran dalam bidang al-Quran, pendidikan dan inovasi, khususnya dalam pembangunan Kod Tangan al-Quran (KTQ),” katanya.
Menurut beliau, latihan seumpama itu penting kerana guru bukan sahaja perlu memahami kandungan al-Quran, malah mempunyai kemahiran untuk menyampaikan ayat dan konsep al-Quran menerusi bahasa visual serta isyarat yang sesuai.
“Melalui latihan yang sistematik, peserta dapat meningkatkan kefahaman, ketepatan penggunaan Kod Tangan al-Quran serta keyakinan untuk mengajar komuniti OKU Pendengaran di sekolah,” katanya.
Kepakaran UMMI turut diterjemahkan menerusi pelbagai program latihan yang terbuka kepada komuniti berkeperluan khas serta agensi yang memerlukan khidmat kepakaran dalam bidang pendidikan Islam, pendidikan khas dan dakwah OKU.
Pelaksanaan latihan yang disesuaikan dengan keperluan peserta menjadi antara pendekatan UMMI dalam memperluas pemindahan ilmu, meningkatkan kompetensi tenaga pengajar serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada komuniti OKU.
Kerjasama berkenaan sekali gus membuka ruang kepada pengembangan akses pembelajaran Quran Isyarat serta perkongsian kepakaran dalam membangunkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam bagi komuniti berkeperluan khas di Brunei.
USIM turut komited untuk bekerjasama dalam pembangunan ekosistem berkenaan selaras dengan keperluan komuniti OKU di negara itu.
Pada hari terakhir kursus, USIM dan Perusahaan Jari-Jariku Brunei turut memeterai Letter of Intent (LoI) sebagai langkah awal ke arah kerjasama yang lebih luas antara kedua-dua pihak.
LoI tersebut merangkumi kolaborasi dalam bidang latihan, penyelidikan, pendidikan inklusif dan pemerkasaan komuniti, khususnya komuniti OKU Pendengaran serta masyarakat secara lebih meluas.
Kerjasama itu dijangka membuka ruang kepada pembangunan inisiatif bersama dan pengembangan inovasi Quran Isyarat, sekali gus menyokong usaha memperluas akses pendidikan al-Quran dan dakwah inklusif pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar



