NILAI – Sebanyak 23 buah lagu patriotik berjaya dihasilkan oleh Urusetia Kesenian Pelajar USIM dalam masa dua hari sepanjang program SAYA ANAK MERDEKA ( PSAM ) berlangsung pada 26 hingga 27 Mei 2012 baru- baru ini.

Program ini bersempena CIPTA 2012 dan diadakan di Studio Latihan Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia. Program CIPTA yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia merupakan program tahunan yang bermula sejak 2008 hingga sekarang.

Keurusetiaan program CIPTA 2008 – 2012 telah dijalankan oleh Unit Kebudayaan Bahagian Hal ehwal Pelajar USIM dengan kerjasama Urusetia Kesenian Pelajar.  Pada tahun 2011 sebanyak enam buah lagu dan satu klip video Jiwa Berpadu 1 Malaysia telah diterbitkan dan sedang menunggu kelulusan untuk siaran RTM.

“Saya berbangga dan merasa bersyukur kerana akhirnya kami berjaya menyiapkan 23 buah lagu dalam masa dua hari dengan dibantu tenaga pengajar profesional dan semua mahasiswa USIM begitu komited dalam menjayakan PSAM kali ini”, ujar Encik Ismail Ahmed, Pegawai Kebudayaan USIM.

Menurut beliau pertandingan mencipta lirik dan lagu patriotik bertujuan untuk meningkatkan kemahiran insaniah di samping menerapkan nilai- nilai murni serta memupuk semangat patriotik dan cintakan negara dalam diri mahasiswa. PSAM juga selari dengan aspirasi pengurusan USIM yang mahukan mahasiswa menyemai kukuh perasaan keperihatinan kepada keadaan masyarakat yang kurang bernasib baik (penghuni penjara) dan seterusnya menjadi warga Al- Abrar yang dihormati oleh masyarakat Malaysia.

Sebelum itu pada 18 hingga 20 Mei 2012 para peserta telah didedahkan dengan kemahiran mencipta lirik melalui Kursus Penulisan Lirik Patriotik yang dikendalikan seorang komposer dan penulis lirik terkenal tanahair iaitu Syed Indera Syed Omar yang lebih dikenali sebagai SISO.

Selain dari modul patriotik dalam LDK 1 & 2 yang dikendalikan oleh oleh Encik Ismail Ahmed, Unit Kebudayaan turut menjemput tenaga pengajar yang terkenal dengan lagu ciptaannya Kekasih Awal dan Akhir nyanyian Jamal Abdillah iaitu komposer  Fauzi Marzuki.  Kursus ini turut memberi peluang kepada mahasiswa USIM mempelajari kaedah- kaedah  mencipta lagu secara profesional semasa Kursus Penciptaan Lagu Patriotik yang merupakan sebahagian daripada modul PSAM 2012.

Dalam pada itu, seramai lebih dari 30 peserta akan berkolaborasi dengan penghuni penjara untuk menyertai sesi saringan dan separuh akhir CIPTA 2012 yang diadakan di dalam Penjara Kajang pada 30 Mei ini dan seterusnya memilih lapan peserta terbaik ke pentas final CIPTA 2012 yang turut melibatkan artis tanahair dan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Kesemua lagu akan diadili oleh oleh juri-juri profesional seperti SISO, Fauzi Marzuki dan Huzaimie Nowseeheart . Pentas akhir CIPTA 2012 dijangka berlangsung pada 15 September 2012 bertempat di Stadium Tertutup Nilai. Kolaborasi antara USIM dan Jabatan Penjara Malaysia bakal menghasilkan gabungan lirik dan lagu patriotik yang penuh variasi dan menggunakan pendekatan kontemporari sesuai dengan selera semua lapisan masyarakat Malaysia.

Oleh:
EK Ismail Ahmed, EB Aima Zaki, EB Fathiah Yaakop