NILAI, 14 Mac 2015 – Kejohanan Balapan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  anjuran Biro Pembangunan Sukan dan Belia Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM merupakan medan terbaik dalam menggilap atlet pelapis dalam acara  sukan olahraga di universiti ini bagi diketengahkan ke kejohanan lebih besar.

Kejohanan yang julung kali diadakan berlangsung di Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM mempertandingkan tujuh acara iaitu  100m, 200m, 400m, 800m, 1500m, 4x100m dan 4x400m. Penganjuran kali pertama dilihat amat berjaya apabila seramai 139 pelajar menyertainya dengan mempamerkan larian yang bertenaga untuk setiap kategori yang dipertandingkan.

Menurut Ketua Biro Pembangunan Sukan dan Belia MPP USIM, Saudara Muhammad Nor Amin Jamaluddin “Penyertaan yang amat memberangsangkan daripada mahasiswa dan mahasiswi USIM menunjukkan USIM mempunyai ramai atlet yang berpotensi dalam bidang olahraga. Hal ini selari dengan visi Biro Sukan dan Pembangunan Belia MPP iaitu melestarikan budaya sukan dalam kalangan warga USIM”.

“Pasca Kejohanan Balapan USIM, kami akan membukukan rekod catatan masa para atlet yang terlibat bagi menaikkan semangat atlet olahraga untuk memecah rekod yang ada pada kejohanan seumpanya di tahun hadapan. Ia akan mewujudkan persaingan yang sihat seterusnya meningkatkan kualiti atlet dari semasa ke semasa”

“Saya yakin selepas kejohanan ini berlangsung, semakin ramai mahasiswa dan mahasiswi akan turun ke Pavillion untuk melakukan aktiviti sukan. Selepas kejayaan program ini, perancangan selepas ini adalah mengadakan Hari Terbuka Sukan USIM dan Majlis Pelancaran kempen ‘Fit USIM’. ujarnya.

Kejohanan yang berlangsung selama sehari ini ditutup secara rasmi oleh Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ). Dalam majlis ini, Pengurusan Universiti memberi komitmen untuk menghantar atlet olahraga USIM ke Kejohanan Sukan Antara Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016 nanti.

Disediakan oleh:

Biro Pembangunan Sukan dan Belia Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM

Dikemaskini oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204