NILAI, 29 Mac – Penganjuran Sukan Antara Kolej Kediaman (SUKOL) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2015 menyaksikan Kolej Kediaman Pertama (KK1) muncul johan keseluruhan dalam edisi kelima SUKOL kali ini. Berlangsung dari 21 hingga 29 Mac di Pusat Sukan Tunku Najihah USIM, seramai 1722 atlet dari 7 buah kolej kediaman mengambil bahagian dalam 14 acara yang dipertandingkan seperti bola sepak, futsal, catur, ping-pong dan tenpin boling.

Kontinjen KK1 yang diketuai oleh Muhammad Hafiz Jalil yang menghantar seramai 80 atlet menunjuk penguasaan bergaya apabila mengumpul 40 mata hasil kutipan 4 pingat emas, 6 perak dan 1 gangsa. Pingat emas disumbangkan melalui acara Badminton Berpasukan, Bola Jaring, Olahraga Lelaki dan Olahraga Wanita.

SUKOL yang diurusetiakan oleh Pusat Perumahan Pelajar diadakan secara tahunan oleh kolej-kolej kediaman di USIM secara penggiliran. Pada kali ini, Kolej Kediaman Sutera Indah (KKSI) menjadi penganjurnya yang dipengerusikan oleh Dr Nik Shafikudin Nik Tajuddin selaku Pengetua KKSI.

“Kejayaan ini adalah hasil persiapan baik yang dilakukan oleh Kolej terutama dalam memilih atlet berpotensi melalui sesi saringan yang diadakan. Semangat juang dan kesukanan tinggi mereka amat saya kagumi walaupun tidak dijanjikan ganjaran. InsyaAllah, kita usahakan majlis penghargaan yang sesuai untuk mereka nanti” ulas Dr Khairunneezam Mohd Noor selaku Pengetua KK1.

Program kesukanan seperti ini menjadi platform berkesan untuk mengetengahkan bakat mahasiswa dalam bidang sukan disamping mewujudkan persaingan sihat antara atlet dalam menaikkan nama kolej masing-masing.

Majlis perasmian penutup SUKOL yang dirasmikan oleh Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM yang turut dihadiri Prof Dato’ Dr. Mohamad Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan kakitangan Kolej Kediaman.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204