SEREMBAN,  23 MEI- Kumpulan ATRA (Akademi Teater Rupawan Asli) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi melakar sejarah apabila dinobatkan Naib Johan pada Festival Teater Negeri Sembilan 2015 yang berlangsung di Auditorium Raja Melewar, Kompleks JKKN, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

ATRA merupakan Urus Setia Keseniaan Pelajar Pusat Kebudayaan USIM mempersembahkan pementasan teater PREH olahan Aloeng Silalahi dan hasil karya Asma Nadia membawa pulang trofi, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak RM 3,000.

Menurut pengarahnya, Saidatul Salwani Hazman, PREH mempunyai keistimewaan yang tersendiri iaitu sarat dengan mesej tauladan dan unsur-unsur Islamik dalam mendidik masyarakat.

“PREH bukan hanya menonjolkan konflik kekeluargaan dan cinta, malah menerapkan nilai murni dalam Islam dan mengajar kita erti usaha, tawakal dan sabra yang sebenar.”

Sementara itu, tenaga pengajar ATRA, Aloeng Silalahi berkata, kejayaan ini lahir daripada sifat ukhuwah dan semangat yang tinggi dalam kalangan ahli ATRA di samping berkat doa masing-masing.”

“Ini adalah satu anugerah namun ia juga ujian daripada Allah SWT supaya tidak berasa takbur dengan kejayaan ini. Malah, kemenangan ini menjadi platform untuk terus maju dalam menyemarakkan kegiatan seni teater.”

“Saya berharap mahasiswa USIM akan lebih ramai celik seni dan tidak segan menyertai aktiviti teater disamping ahli-ahli ATRA terus memantapkan kemahiran masing-masing dalam memartabatkan seni teater,” jelas beliau lagi.

Mengulas mengenai kejayaan ATRA, Pengarah Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, penyertaan pertandingan seperti ini membuka peluang mereka dalam mendidik khalayak disamping membangunkan tamadun akal manusia. Hal ini kerana teater merupakan medium yang sangat dekat dengan penonton menerusi visual.

“Saya ucapkan syabas kepada ATRA atas usaha dan gigih melawan kekuatan fizikal dan mental dalam mengangkasa kemahiran insaniah.”

Keputusan penuh festival baru-baru ini menyaksikan Kelab Penggiat Teater Negeri Sembilan berjaya merangkul gelaran juara menerusi teater ‘Tergantung’, manakala tempat ketiga dinobatkan kepada Persatuan Sanggar Seri Menanti dengan persembahannya ‘Bisikan Cinta’. Sebanyak 10 kumpulan berentap dalam penganjuran festival ini.

Disediakan oleh:

Ejen Berita (EB Nor Adira & EB Arika)

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204