NILAI – Mahasiswa Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengharumkan nama universiti apabila meraih beberapa pengiktirafan menerusi penyertaan dalam dua program mobiliti antarabangsa di Indonesia pada Semester Akademik A251.

Kejayaan itu diraih menerusi penyertaan dalam International Study Excursion (ISE) 2026 dan Find Your Roots 2026 yang masing-masing dianjurkan oleh Universitas Muhammadiyah Sidoarjo (UMSIDA) dan Universitas Muhammadiyah Surakarta (UMS), Indonesia.

Dalam program ISE 2026 yang berlangsung dari 13 hingga 17 Mei lalu, mahasiswa Komunikasi USIM berjaya meraih Anugerah Kertas Penyelidikan Terbaik (Best Paper Award) sempena International Conference on Emerging New Media and Social Sciences (ICEMSS 2026).

Sementara itu, penyertaan dalam program Find Your Roots 2026 dari 14 hingga 17 Julai lalu turut membuahkan kejayaan apabila mahasiswa USIM memenangi Anugerah Peserta Mobiliti Terbaik, Anugerah Projek Video Berkumpulan Terbaik dan Anugerah Pasukan Terbaik.

Pencapaian tersebut membuktikan bahawa penyertaan dalam program mobiliti antarabangsa bukan sahaja dapat meningkatkan kecemerlangan akademik mahasiswa, malah memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan.

Program berkenaan turut memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepelbagaian budaya dan sejarah Indonesia sebagai sebuah negara kepulauan.

Salah seorang peserta, Aiman Zakwan berkata, penyertaan itu merupakan pengalaman pertamanya mengikuti program mobiliti antarabangsa dan telah membuka ruang kepadanya untuk mempelajari pelbagai ilmu baharu serta memahami budaya masyarakat Indonesia dengan lebih dekat.

“Saya berpeluang mempelajari pelbagai ilmu baharu, selain mengenali budaya masyarakat Indonesia termasuk makanan tradisional, bahasa dan sejarah di setiap lokasi yang kami lawati.

“Pengalaman tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Edukasi Duren Sari menjadi kenangan paling bermakna kerana kami bukan sahaja mengikuti pembelajaran di dalam kelas, malah berpeluang berinteraksi dengan penduduk kampung menerusi aktiviti khidmat komuniti yang memberikan pengalaman amat bernilai,” katanya.

Pensyarah pengiring program, Dr. Fauziah Hassan berkata, penyertaan mahasiswa dalam program mobiliti antarabangsa perlu terus diperkasakan kerana mampu membentuk keyakinan diri, meningkatkan kemahiran insaniah dan melahirkan graduan yang lebih kompetitif pada peringkat global.

“Harapan saya adalah untuk memberikan peluang kepada lebih ramai mahasiswa menyertai program seumpama ini.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran, saya akan terus berusaha membantu dan memberikan keyakinan kepada mahasiswa agar berani merebut peluang pembelajaran pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Dekan FKP, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd. Jailani berkata, program mobiliti antarabangsa memberikan impak yang besar terhadap pembangunan sahsiah dan kompetensi mahasiswa menerusi pengalaman pembelajaran merentas budaya.

“Saya sentiasa menyokong program yang memberikan nilai tambah kepada mahasiswa supaya mereka dapat memanfaatkan tempoh pengajian di universiti dengan pengalaman pembelajaran antarabangsa.

“Pengalaman ini mampu membentuk perspektif global dan meningkatkan daya saing mahasiswa,” katanya.

Kedua-dua program tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik antara USIM dengan UMSIDA dan UMS menerusi memorandum persefahaman yang telah dimeterai.

Kerjasama aktif itu mencerminkan komitmen institusi terlibat dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa, memperluas peluang mobiliti mahasiswa serta memperkasakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi.