NILAI, 16 Ogos 2014 – Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan ke atas saudara Islam di Gaza, Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional (PENA), Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta sokongan daripada Aman Palestin telah menganjurkan Malam Puisi Gaza: Ekspressi Jiwa dan Munajat Doa Buat Palestin.

Gabungan persembahan dari kalangan penggiat sastera dan budaya, aktiviti terkenal tempatan dan karyawan seni negara bertujuan membangkitkan kesedaran kecintaan kepada keamanan dan kedamaian selain meringankan beban melalui kutipan Tabung Amal Palestin. Di USIM sendiri, kutipan dana Amal Palestin telah pun berjalan bagi bersama-sama memberikan bantuan dari segi kewangan.

”Malam Puisi Gaza adalah salah satu medium untuk menunjukkan keperihatinan tinggi dan solidariti kita sebagai rakyat Malaysia dalam menggembelengkan usaha membawa kesedaran dan rasa bertanggungjawab kepada pembunuhan rakyat Palestin dan kekejaman Israel. Melaluinya, USIM dan entiti kerajaan serta NGO berpeluang menzahirkan sokongan menerusi bait-bait rangkap puisi yang dipersembahkan,” ucap Naib Canselor USIM, YBhg Prof. Dato, Dr. Musa Ahmad.

Turut sama mendeklamasikan puisi adalah Naib Canselor USIM, YBhg Prof. Dato, Dr. Musa Ahmad diikuti Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd. Khair Ngadiron. Persembahan deklamasi puisi dan dendangan lagu-lagu puisi disampaikan oleh penyajak terkenal tanah air dengan penuh semangat antaranya Lim Swee Tin, Khaled Salleh, Ahmad Shukri, Haryani Haron dan Shamsudin Othman. Turut serta adalah penyanyi, Nash yang menyampaikan 2 buah lagunya serta aktivis terkenal tanah air yang lain antaranya SISO Kopratasa, Fauzi Marzuki selain Kumpulan Lagu Puisi USIM Karyaperang yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, En Ismail Ahmed.

Malam tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Naib Canselor USIM kepada rakan kerjasama serta penyerahan tabung kutipan Amal Palestin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut yang turut hadir sebagai tanda sokongan.

Persembahan pada malam tersebut akan didokumentasikan dan dimuatnaik ke dalam talian Facebook dan Youtube dan setiap audiens yang menonton video boleh menekan butang like dan seterusnya menderma dengan menaip Palestin 1/5/10 kepada Tabung Aman Palestin melalui talian 39111.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Penolong Pendaftar StraComm