Bandar Baru Nilai, 30 Mei 2010 – Edisi Sukan MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia) Fasa II 2010 telah berlangsung dengan jayanya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dimana hampir 5000 peserta dikalangan atlit mahasiswa, pegawai, petugas serta sukarelawan terlibat dalam penganjuran ini.

Untuk edisi Sukan MASUM Fasa II pada kali ini, USIM selaku tuan rumah berjaya menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila berjaya menggondol tujuh pingat emas yang mana enam daripadanya adalah dalam acara silat ucap Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Muda, Naib Canselor USIM dalam ucapan aluannya semasa Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan MASUM Fasa II 2010.

“Semangat beginilah yang perlu diteruskan oleh semua atlit agar terdapat kesinambungan berterusan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Sukan MASUM pada kali ini juga menyaksikan beberapa peningkatan dari segi kualiti permainan, pencapaian dan pengekalan rekod yang mana ianya merupakan satu pencapaian dan peningkatan yang perlu di beri perhatian agar kualiti sukan setiap atlit lebih meningkat”, tambah beliau lagi.
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan MASUM Fasa II 2010 telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin Menteri Pengajian Tinggi Malaysia di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan.

“Setiap mahasiswa  perlu mempersiapkan diri dengan persaingan terutama dalam bidang sukan kerana bersukan merupakan nilai yang sangat penting dalam interaksi sosial dan menjana semangat berpasukan”, kata YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia ketika ditemui pada sidang media Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan MASUM II 2010.

Fasa I melibatkan penganjuran di kampus UiTM Arau, perlis dari 15 hingga 20 mei 2010 yang telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis pada 15 Mei baru-baru ini. Antara sukan yang dipertandingkan di UiTM Arau ialah bandminton, karate do, bola tampar dewan dan bola tampar pantai, hoki wanita, ragbi 15 sebelah, sofbol dan tenis. Kemudian diikuti oleh penganjuran fasa II di USIM dari 22 hingga 30 Mei 2010. Sebanyak tujuh acara dipertandingkan iaitu bola baling, bola keranjang, catur, taekwando, boling padang, silat dan kriket.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my