NILAI, 25 Januari 2020 – Penglibatan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam program kesukarelawanan tidak asing lagi kerana pihak universiti sangat menggalakkan aktiviti libatsama masyarakat yang dapat memberikan pengalaman berharga kepada mahasiswa di luar waktu kuliah.

Baru-baru ini seramai 21 orang mahasiswa tahun 4 Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah telah berjaya melaksanakan satu program GISO (Global Islamic Student Outreach) di negara Eurasia yang tidak asing lagi iaitu Turki yang berlangsung pada 16 hingga 25 Januari 2020.

Diberi nama Rehlah Mahabbah Turki (Gaziantep dan Istanbul), program libatsama masyarakat ke bumi Uthmaniyah ini menyampaikan bantuan khusus kepada mangsa-mangsa kekejaman perang di Syria.

Antara tempat yang sempat dilawati adalah iNSANi Yardim Vakfi (iHH), Pusat Rehabilitasi, Pusat Transit Anak-anak Syria, Pusat Pendidikan Anak Yatim Hayrat Yardim dan juga sekolah.

Menurut pengarah program Mohd Faris Danial Bin Abdul Kader, iHH merupakan satu badan NGO yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyampaikan bentuk sumbangan kepada para pelarian Syria, perjalanan mengambil masa hampir satu jam dari kediaman penginapan mereka di Gazientep.

”Kami berpeluang untuk melawat Pusat Logistik Kilis yang amat sistematik seumpama sebuah gudang besar yang menyimpan stok-stok makanan dan keperluan yang siap sedia untuk diagihkan mengikut jumlah sumbangan yang diberikan oleh orang ramai dari serata dunia. Antara bentuk makanan dan keperluan yang disumbangkan adalah tepung, minyak masak, gula, kekacang dan beberapa lagi jenis makanan ruji mereka”.

”Peserta juga berkesempatan meluangkan waktu beraktiviti dengan anak-anak Syria di Pusat Pendidikan Anak Yatim Hayrat Yardim yang cukup bermakna buat mereka apabila melihat senyuman anak-anak yatim para syuhada ini ketika mereka diberikan hadiah kecil sepanjang aktiviti itu berlangsung” tambah Faris lagi.

Para peserta berkesempatan melawat Universiti Gazientep dan bertemu dengan Prof. Dr. Şehmus Demir; Dekan Fakulti Ilahiyat Universiti Gaziantep.

Diharapkan perjalanan kumpulan GISO ini amat meninggalkan kesan buat setiap ahli dan berhasil menanamkan semangat dan tekad untuk terus membantu ummah khususnya dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawan.

Disediakan oleh:
Nur Aina Umairah Muhammad Ansari (Unit Media)

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan