NILAI, 20 MAC 2014 – Menjajarkan Pelan Strategik USIM ke Arah Pengukuhan Agenda Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli adalah misi yang ditekankan oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Profesor Dato’ Dr Asma Ismail melalui Amanat Tahun 2014 Naib Canselor yang berlansung di Dewan Besar USIM.

Dalam hasrat memberi nafas baharu kepada warganya termasuklah pelajar, kakitangan pentadbiran dan kakitangan akademik, USIM bertekad menjadi sebuah institusi ilmu terkehadapan dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli, serta menjelaskan strategi dan perancangan hala tuju dalam usaha memperkasakan kedudukan USIM supaya terus mampu bersaing di arus perdana dan di peringkat antarabangsa agar sentiasa kekal di hati masyarakat. USIM sememangnya unik kerana satu-satunya institusi yang mengangkat integrasi naqli dan aqli bukan sahaja dalam kurikulum malah sistem tadbir urusnya.

Justeru itu, USIM pada awal tahun 2013 telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai peneraju Konsortium Institusi Pengajian Tinggi Islam bagi Kualiti Akademik dan Penyelidikan Lanjutan atau dikenali sebagai i-IQRA’. Negara meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat konsortium ini dapat memperkasakan program akademik dan pengajian Islam yang bukan sahaja terhad kepada institusi pendidikan dalam Negara tetapi turut menjangkau manfaatnya di peringkat serantau dan rakan-rakan di dalam OIC.

USIM pada usia yang disifatkan masih muda dan perlu melalui banyak proses kematangan, telah mencipta sejarah dan mendapat pengiktirafan apabila memenangi tiga anugerah daripada Europe Business Assembly (EBA) pada Majlis Anugerah Socrates (Socrates Award Ceremony) yang diadakan di London pada 16 hingga 19 Disember 2013. Kejayaan USIM dalam memenangi Best Regional University, Best Manager of the Year dan Best Scientist 2013 memberi peluang kepada USIM untuk mengukuh dan memartabatkan Sains Islam di peringkat global bertepatan dengan tema USIM sendiri iaitu Mempelopori Sains Islam, Memimpin Keilmuan.

YBhg. Dato’ Dr Asma dalam ucapannya berkata, beliau menyakini USIM telah mula mendapat kepercayaan kerajaan dan negara bukan kerana kebetulan, tetapi disokong oleh track record yang baik dan memberangsangkan. “Meneruskan legasi kejayaan yang lalu, USIM membuktikan pengiktirafan yang diterima di peringkat  nasional dan antarabangsa menerusi kecemerlangan institusi, kehebatan bakat oleh figura dan ikon serta meraih pencapaian membanggakan di bidang penyelidikan, penulisan dan penerbitan sehingga mencapai rating 4 bintang bagi MyRa”. tambah beliau.

Pencapaian USIM bukan sahaja diukur menerusi bilangan anugerah yang diperolehi, malah kejayaan USIM memperolehi geran berjumlah RM5 juta di bawah Niche Research Grant Scheme (NRGS) memberi suntikan kepada kumpulan penyelidik USIM untuk menggiatkan aktiviti penyelidikan Sains Islam.

Pencapaian yang membanggakan USIM adalah apabila memperolehi dana bagi penubuhan Kursi Akademik atau Professorial Chair. USIM telah diberi peruntukan sebanyak RM500,000 oleh Yayasan Nurul Yaqeen yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi Kursi Akademik Kepimpinan Islam dan sebanyak RM300,000 bagi Kursi Kewangan dan Perbankan Islam daripada Yayasan Tun Ismail Ali yang ditubuhkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Manakala Menteri Besar Negeri Sembilan bagi pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menawarkan dua lagi Kursi Akademik kepada USIM dengan nilaian yang akan ditentukan. Perolehan dana bagi Kursi Akademik ini memberi faedah serampang dua mata kepada USIM, pertama melonjakkan penyelidikan dan penerbitan USIM dan kedua peluang membawa tokoh tersohor untuk menyandang Kursi Akademik berkaitan ke USIM.

Dalam pada itu, usaha USIM untuk Branding and Positioning telah mula membuah kerana masyarakat telah mula mengenali USIM berdasarkan jumlah pelajar yang memohon ke USIM melalui UPU adalah lebih daripada 23,000 orang untuk mengisi hanya 2500 tempat sahaja pada tahun 2013. Kita juga telah mendapat 2800 pelajar yang memilih USIM sebagai pilihan pertama iaitu sekali lagi melebihi tempat yang sedia ada.

Kesemua pencapaian di atas telah menunjukkan bahawa USIM sudah dikenali di peringkat kebangsaan sebagai universiti tempatan yang berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Kita juga telah diberi pengiktirafan sebagai pelopor dalam bidang sains Islam dan menjadikannya sebagai bidang tujahan universiti.

Dengan itu halatuju USIM pada 2025 adalah untuk menjadi universiti terkemuka dunia untuk integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Pada 2013 kita sudah mencapai pengiktirafan sebagai universiti peneraju terkini (emerging leader) bagi integrasi ilmu Naqli dan Aqli di peringkat kebangsaan. Kita akan bergerak untuk menjadi universiti pemimpin di peringkat serantau (regional) sebelum melonjak ke peringkat dunia. Untuk menjadi universiti terkemuka dunia, kita akan usahakan pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli secara berperingkat agar 5 tahun dari sekarang semua aspek USIM bermula daripada pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, pentadbiran dan pengurusan, pengantarabangsaan, pembangunan sahsiah pelajar dan staf, kelestarian kewangan, libatsama komuniti serta governan dan polisi USIM akan diubahsuai dengan baik agar menganuti falsafah integrasi ilmu Naqli dan Aqli.  Pada tahun 2014, kita akan menjajarkan semua strategi dan pelan perancangan USIM agar dapat bersedia untuk melonjak ke arah kecemerlangan pada tahun 2015 nanti.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm