Bandar Baru Nilai, 4 Mac 2010 –  Saranan dari Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Y.Bhg. Dato’ Saifuddin Abdullah untuk menghidupkan semula sudut pidato di setiap universiti disambut positif oleh semua pihak termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Ia merupakan langkah USIM dalam usaha membina mahasiswa yang holistik dan berdaya gaji tinggi yang merupakan KRA USIM yang utama”, kata Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad bin Muda.

Menurut Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, pelancaran Mimbar Ilqa’ ini bukan gimik semata-mata untuk menyahut seruan kerajaan bagi memberi ruang pelajar menyuarakan pandangan dan idea secara kritis dan membina, malahan untuk menyemarakkan dan mengembalikan kegemilangan suasana kemahasiswaan di IPT.

“Dengan adanya sudut pidato di USIM, suasana di kampus akan menjadi lebih segar dan pelajar akan menjadi lebih matang dalam melontarkan idea dan buah fikiran”, tambah beliau lagi semasa melancarkan sudut pidato atau ‘Mimbar Ilqa’ di USIM baru-baru ini.

Katanya, mahasiswa perlu bersikap rasional dan bukannya emosional dalam menyuarakan pandangan dan idea. Mahasiswa seharusnya berfikiran matang dan segala hujahan yang dilontarkan memberi kebaikan kepada semua pihak.

“isu-isu yang dibangkitkan perlu mempunyai intipati kepada masyarakat dan bukannya retorik semata-mata. Sebagai seorang mahasiswa, isu yang disentuh harus berkaitan dengan isu-isu global pada masa kini seperti sosial, perkembangan teknologi, ekonomi dan sebagainya”.

“Saya berharap agar sudut pidato ini dipenuhi dengan ucapan-ucapan pidato yang bernas dan tidak disalah guna sebagai medan untuk membuat kritikan dan tuduhan yang tidak berasas kepada mana-mana pihak”, katanya lagi.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Saudara Muhammad Hilmi Juhari berkata, pelancaran sudut pidato di USIM merupakan satu peluang keemasan yang perlu di ambil oleh mahasiswa.

“Sudut pidato merupakan platform atau wasilah terbaik bagi pelajar untuk mengasah bakat kepimpinan dan pengucapan awam”, katanya

Menurut Muhammad Hilmi lagi, Majlis Perwakilan Pelajar USIM sedang bekerjasama dengan Kelab Debat USIM dalam usaha untuk mempromosi dan menarik minat mahasiswa agar sudut pidato ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028