NILAI – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan inisiatif WaterForAthlete bagi menyediakan bekalan air minuman percuma kepada pasukan sukan universiti sebagai sokongan terhadap persiapan atlet yang bakal mewakili USIM ke Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.
Inisiatif di bawah agenda MPP4U itu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan penghidratan atlet, sekali gus membantu mereka mengekalkan stamina dan memberikan fokus sepanjang latihan serta pertandingan.
Pengarah WaterForAthlete, Muhammad Alif Farhan Mohamad Fitri, berkata inisiatif itu menjadi wadah untuk menterjemahkan sokongan dan komitmen MPP terhadap atlet yang menggalas cabaran membawa nama USIM.
“Melalui inisiatif ini, kami mahu menyuntik semangat juang yang tinggi dan memastikan setiap atlet merasai penghargaan supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk melakar kejayaan serta mengharumkan nama USIM,” katanya.
Pelaksanaan WaterForAthlete digerakkan secara berperingkat bermula 14 April lalu menerusi tajaan bekalan minuman kepada Team Futsal USIM yang beraksi dalam Liga Futsal IPT 2026.
Sokongan itu diteruskan pada 6 Ogos lalu menerusi sumbangan bekalan minuman kepada USIM FC yang kini bersaing dalam Divisyen 2 Liga Bola Sepak IPT 2026.
Muhammad Alif berkata, MPP USIM turut merancang meneruskan inisiatif itu dengan memperluaskan bentuk sokongan kepada aspek kebajikan asas atlet pada masa akan datang.
“Perluasan skop bantuan akan ditumpukan kepada sumbangan pemakanan harian, bantuan suplemen kesihatan serta penyediaan keperluan kelengkapan latihan yang bersesuaian,” katanya.
Menurutnya, kesinambungan program itu diharap dapat memperkukuh sokongan terhadap atlet USIM yang bakal bertanding dalam SUKIPT 2026.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen MPP USIM dalam memperkukuh kebajikan atlet menerusi sokongan yang bersifat praktikal serta memberi manfaat secara langsung kepada persiapan kontinjen universiti.