NILAI – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan inisiatif MPP4U – Musa’adahforStudent bagi membantu mahasiswa yang memerlukan, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Inisiatif dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM itu menyasarkan lebih 100 mahasiswa melalui agihan pek makanan asas yang mengandungi beras, telur, biskut, mi segera dan barangan dapur lain.

Pengarah Program, Nur Naimi Qaisara Mohd Norafizan, berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui dua kaedah utama iaitu serahan di Bilik MPP kepada mahasiswa kategori B40 yang terpilih serta penghantaran terus ke kediaman penerima.

“Inisiatif ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah menjadi ruang buat kami untuk menyantuni serta memahami sendiri keadaan dan keperluan para pelajar secara lebih dekat,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan program itu turut diharapkan dapat meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai kepentingan sikap saling membantu dan cakna terhadap kebajikan sesama mahasiswa.

Inisiatif tersebut turut menyokong elemen holistik dalam model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) menerusi penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan dan kebajikan komuniti kampus.

Bagi menilai keberkesanan pelaksanaan, MPP USIM turut menjalankan tinjauan maklum balas dalam kalangan mahasiswa yang menerima bantuan.

Dapatan tinjauan menunjukkan penerimaan positif terhadap Musa’adahforStudent apabila penerima menyifatkan bantuan berkenaan bermanfaat dan wajar diperluaskan kepada lebih ramai mahasiswa yang memerlukan.

Mahasiswa turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan yang akan diberi perhatian MPP USIM bagi memperkemas pelaksanaan inisiatif pada masa akan datang.

Maklum balas tersebut menjadi antara mekanisme penilaian bagi memastikan pelaksanaan program kebajikan dapat disesuaikan dengan keperluan sebenar mahasiswa secara berterusan.

Musa’adahforStudent mencerminkan komitmen MPP USIM dalam memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan warga kampus selaras dengan slogan “Kebajikan Anda, Cakna Kami”.

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini