KUCHING: Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi, 22, meraih Anugerah Montaj Terbaik sempena Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Kali Ke-40 Peringkat Kebangsaan 2026 di sini.

Pengiktirafan itu diterima menerusi penghasilan montaj yang menjadi sebahagian daripada persembahan beliau pada pentas kemuncak SDPK yang berlangsung di Hotel Theatre, Kuching, Sarawak, 15 Ogos lalu.

Nik Faruqi, pelajar Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Matematik Kewangan), Fakulti Sains dan Teknologi, berkata beliau bersyukur dan tidak menyangka hasil kerja tersebut menerima pengiktirafan pada peringkat kebangsaan.

“Bagi saya, anugerah ini bukan sekadar satu penghargaan, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dan kreativiti yang dicurahkan sepanjang menghasilkan montaj tersebut,” katanya.

Beliau berkata montaj berkenaan dihasilkan menerusi kerjasama dengan penyair nasional, Abdul Rasmin Sagal, yang turut memberi sentuhan terhadap video latar bagi mengukuhkan mesej persembahan.

Dalam pertandingan itu, Nik Faruqi turut mempersembahkan puisi Akar Prakarsa nukilan Mohd Istajib Mokhtar dan bersaing bersama 17 peserta mewakili seluruh negara termasuk wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, penglibatan dalam sayembara itu menjadi ruang untuk mengangkat seni dan kesusasteraan pertiwi, khususnya menerusi karya yang membawa mesej berkaitan perjuangan dan kemerdekaan.

“Pertiwi ini, tiap titis keringat leluhur menjadi sejarah, tiap perjuangan menjadi warisan, dan tiap generasi memikul amanah untuk terus menyuburkannya,” katanya.

Nik Faruqi berkata beliau akan terus mengaktifkan diri dalam bidang puisi moden dan tradisional serta menghasilkan karya yang dekat dengan masyarakat dan membawa mesej bermakna.

Katanya, sokongan Pusat Kebudayaan USIM yang membuka ruang kolaborasi bersama penggiat seni dan penyair turut menjadi pemangkin untuk beliau mengembangkan penglibatan dalam bidang berkenaan.

“Peluang inilah yang akan kita perluaskan pada masa hadapan bagi memastikan nama USIM terus melebar dan tersohor dalam kalangan penggiat seni tanah air,” katanya.

Mengulas cabaran sepanjang menyertai pertandingan, Nik Faruqi berkata pengurusan masa menjadi cabaran utama berikutan pertindihan komitmen sebagai YDP MPP dan penglibatan dalam program Jelajah Mahasiswa: Dari Nogori ke Negeri Bawah Bayu di Sabah.

Beliau turut berdepan pertembungan jadual antara program berkenaan dengan SDPK di Sarawak, namun tetap berusaha memastikan kedua-dua komitmen dapat dilaksanakan.

“Jika tidak boleh untuk kita lakukan semua perkara, maka jangan juga untuk tinggal semua,” katanya.

SDPK Kali Ke-40 berlangsung dari 13 hingga 16 Ogos 2026 dengan pentas kemuncak pada 15 Ogos yang menghimpunkan 17 peserta dari seluruh negara, PDRM dan ATM.

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini