NILAI, 26 Mac 2014 – Seramai lebih kurang 100 pelajar  dari 20 buah Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat USIM sekitar Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan telah menyertai Program Menikmati Kehidupan di Kampus atau dikenali sebagai “Selangkah Ke USIM” anjuran Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia yang diadakan bermula 24 hingga 26 Mac yang lepas.

Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan dorongan kepada pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) merasai sendiri suasana kehidupan pelajar di kampus seterusnya menjadikan USIM sebagai pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran di peringkat asasi (matrikulasi) atau Ijazah.

Selain itu, bagi memperkenalkan USIM secara dekat kepada pelajar-pelajar dari Sekolah kluster dan Sekolah Angkat USIM, di samping memberi maklumat tepat kepada pelajar berpotensi mengenai peluang menyambung belajar di USIM khususnya.

Menurut Pengarah Pusat Tamhidi, Dr. Nurlida Basir, program ini telah bermula sejak tahun 2009 lagi dan terbuka kepada sekolah aliran agama, namun oleh kerana sambutan yang amat memberangsangkan, mulai tahun 2011 program ini hanya dibuka penyertaan kepada Sekolah kluster dan Sekolah Angkat USIM sahaja dan beberapa jemputan khas. “Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini diadakan di sekitar kampus tetap di Nilai dan kampus cawangan di Pandan Indah Kuala Lumpur”, katanya lagi.

Pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang program ini berlangsung antaranya  Campus Tour, Ceramah Motivasi dan Kerjaya, Ceramah Kepimpinan & Motivasi, Tazkirah, Senamrobik dan program bebas iaitu menjalani kehidupan seharian sebagai pelajar Pusat Tamhidi bersama ‘buddy’ masing-masing dimana perserta akan menginap di asrama bersama buddy mereka untuk membangkitkan suasana sebenar kehidupan di kampus di samping mengikuti perjalanan kuliah dan tutorial. ‘Buddy’ pula dilantik dikalangan pelajar cemerlang, iaitu yang mendapat Anugerah Pengarah Tamhidi, Purata Nilaian Gred Semester (PNGS) 3.60 dan ke atas.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus