PELAJAR USIM TERPILIH WAKILI MALAYSIA KE PROGRAM PERTUKARAN BELIA MALAYSIA-KOREA 2026
NILAI – Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Irdina Syahirah, terpilih sebagai antara 20 delegasi Malaysia bagi menyertai Malaysia-Korea Youth Exchange Program (MKYEP) 2026 yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Ministry of Gender Equality and Family (MOGEF), Korea Selatan.
Membawa tema “Empowering Youth as Responsible Digital Citizen”, program itu berlangsung pada 4 hingga 13 Ogos 2026 baru-baru ini, yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh diplomasi belia, kepimpinan digital dan persefahaman budaya menerusi perbincangan, lawatan rasmi serta aktiviti komuniti.
Pemilihan peserta berlangsung dalam tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2026 menerusi beberapa peringkat tapisan termasuk permohonan, ujian psikometrik dan kem pemilihan.
Nur Irdina berkata, proses pemilihan yang dilalui memberi pengalaman bermakna selain menguji keupayaan peserta dari aspek kepimpinan, komunikasi dan kesediaan untuk mewakili negara.
“Saya amat berbangga dan bersyukur kerana terpilih sebagai antara 20 delegasi mewakili Malaysia daripada lebih 18,000 permohonan untuk menyertai program ini yang ditaja sepenuhnya,” katanya.
Selepas terpilih, peserta turut mengikuti latihan Pre-Departure Training (PDT) I dan II sebagai persediaan sebelum menyertai program pertukaran belia tersebut.
Beliau berkata peluang berkenaan perlu dimanfaatkan golongan mahasiswa untuk meningkatkan keyakinan diri, kemahiran serta pengalaman dalam persekitaran antarabangsa.
“Saya menyeru semua pelajar USIM supaya mencuba peluang seperti ini kerana pengalaman yang diperoleh dapat membantu meningkatkan keyakinan dan kebolehan diri,” katanya.
Beliau turut berharap agar peluang berkenaan menjadi ruang untuk terus menyumbang kepada negara dan universiti melalui pengalaman serta ilmu yang diperoleh sepanjang menyertai program tersebut.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini


