NILAI, 5 Ogos 2020 – Pendaftaran kemasukan pelajar  baharu Tamhidi (Asasi) sesi akademik 2020/2021 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dijalankan secara pandu lalu di Kolej Kediaman Nilai Court bagi mengurangkan kesesakan sekaligus mengelakkan risiko penularan pandemik Covid19.

Menurut Pengarah Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) Encik Mohd Salehudin Syukor, berikutan peningkatan kes Covid19  dua negeri iaitu Kedah dan Sarawak, USIM mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalankan kuarantin wajib selama 14 hari kepada seramai 24 orang pelajar di kediaman khas yang jauh dari pelajar lain. Mereka adalah 19 orang dari Kubang Pasu, Kedah dan selebihnya dari Sarawak.

”Mereka akan dipantau staf kolej kediaman dan Pusat Kesihatan USIM. Sekiranya bergejala, mereka akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan”.

Encik Salehudin berkata lagi, semua pelajar akan menjalani sesi ta’aruf juga pembelajaran secara dalam talian bermula 10 Ogos ini. Di samping itu, pihak universiti telah menaiktaraf kolej kediaman untuk memberi keselesaan dan kemudahan yang baik kepada para pelajar, ini kerana kebanyakkan masa mereka adalah menjalankan sesi pembelajaran di kediaman masing-masing dengan kemudahan internet yang telah disediakan.

”Kami mengucapkan terima kasih kepada semua urus setia pelajar dan staf yang banyak membantu dan melancarkan proses pendaftaran kali ini”, tambah Encik Salehudin.

Sehingga hari ini seramai 1339 pelajar telah menerima tawaran di USIM bagi empat program iaitu Perakaunan dan Muamalat seramai 295 pelajar, program Perubatan, Pergigian dan Sains 288 pelajar, program Sains Fizikal dan Teknologi 480 pelajar serta program Syariah dan Undang-undang  seramai 276 pelajar.

Majlis pendaftaran kali ini berlangsung selama lima hari bermula sejak 3 Ogos sehingga Jumaat ini.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan