NILAI – Persatuan Komunikasi Media Baharu merangkul Anugerah Persatuan Pelajar Terbaik dalam majlis gilang-gemilang bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2024 pada 18 Disember 2024.
Acara tahunan ini diadakan bagi menghargai kecemerlangan pelajar dan persatuan di bawah naungan FKP. Bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3, majlis tersebut turut meraikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam sesi akademik 2023/2024.
Menurut Muhammad Azham bin Zailani , Tahun 4, Presiden Persatuan Komunikasi Media Baharu, kemenangan ini merupakan pengiktirafan atas usaha gigih persatuan dalam menganjurkan pelbagai program inovatif dan berimpak tinggi sepanjang tahun. Antara program yang telah diadakan adalah Iftar Mahabbah bersama Anak Yatim, Go Digital Asean dan Bengkel Bakat dan Kerjaya di SMK Nilai Impian.
Sementara itu, Dekan FKP, Prof.Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, dalam ucapan perasmiannya turut memuji dedikasi dan komitmen para pelajar serta persatuan yang telah menjadikan fakulti sebagai salah satu platfom untuk terus mengekalkan kecemerlangan ini dalam akademik dan aktiviti kokurikulum.
“Anugerah ini bukan sekadar penghargaan, tetapi juga menjadi motivasi untuk kita terus maju dan berdaya saing. Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk lebih aktif menyumbang kepada fakulti dan universiti,” katanya lagi.
Anugerah kecemerlangan ini juga turut menobatkan pemenang dalam kategori anugerah khas kecemerlangan pelajar FKP 2024. Antaranya ialah Anugerah Kepimpinan Persatuan dinobatkan kepada Muhammad Firdaus Mohd Faisal dari Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Anugerah Kepimpinan dan Kebudayaan kepada Najmi Adli Mustaffa dari Program Komunikasi, Anugerah Kepimpinan Keusahawanan kepada Nik Nur Hidayatul Solehah Mohd dari Program Kaunseling, Anugerah Pengucapan Awam kepada Nur Haziq Irfan Nor Hisham dari Program Pengajian Akidah dan Agama, serta Anugerah Olahragawan dan Olahragawati yang disandang oleh Mohamad Faruq Irfan Mohamed Johari dan Farah Nadiah Mat Kir dari Program Pengurusan Dengan Pelancongan. Banyak lagi anugerah lain turut dipertandingkan bagi kategori pelajar.
Selain itu, Anugerah Kecemerlangan FKP 2024 turut meraikan para staf yang banyak menyumbangkan jasa sepanjang tahun 2024. Anugerah Khas Kecemerlangan Staf FKP 2024 menyaksikan Dr. Ihab Ahmed Ra’uf Awais membawa pulang 3 trofi dalam kategori Anugerah Penerbitan Journal Bahasa Arab, Anugerah Penerbitan Buku Karya Asli Bahasa Arab dan Anugerah Penyelidikan. Turut sama meraikan kejayaan adalah Dr. Nik Suhaida Nik Abdul Majid yang memenangi Anugerah Inovasi dan Kreativiti, manakala Anugerah Pengajar Cemerlang Semester Satu dan Semester Dua disandang oleh Dr. Muhammad Raqib Mohd Sofian serta Prof. Madya Dr. Khairuneezam Mohd Noor.
Banyak lagi anugerah yang dipertandingkan bagi kategori staf, seperti Anugerah Olahragawan dan Olahragawati, Anugerah Penerbitan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Majlis ini diakhiri dengan penganugerahan Anugerah Kecemerlangan Staf Pentadbiran kepada Encik Al Imran Azmi.
Anugerah Kecemerlangan FKP 2024 sekali lagi membuktikan dedikasi pelajar dan staf dalam menjadikan fakulti ini unggul di peringkat universiti dan menjadi inspirasi kepada komuniti USIM untuk terus cemerlang pada masa hadapan.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Bin Che Mohd Zaini