Nilai, 14 Disember 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya meraih ketiga-tiga Anugerah yang dipertandingkan dalam Pertandingan Mahkamah MUT Syariah Peringkat Kebangsaan 2009. Anugerah Pasukan Terbaik melayakkan USIM menerima RM 5000, piala dan sijil penyertaan. Selain itu, pelajar tahun 4, Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang USIM, Saudari Ummu Umairah binti Azahari turut dinobatkan sebagai penghujah terbaik dan menerima RM 1500, piala dan sijil penyertaan. Manakala untuk Anugerah Hujahan Bertulis Terbaik, USIM membawa pulang RM 3000, piala iringan beserta sijil penyertaan.

Pertandingan Mahkamah MUT Syariah Peringkat Kebangsaan ini adalah anjuran USIM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM), Majlis Tatatertib dan Disiplin Universiti-universiti Malaysia (MATDUM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Pertandingan ini berlangsung pada 12 hingga 13 Disember 2009 bertempat di kampus USIM.

Sebanyak 14 pasukan daripada 7 Institusi Pengajian Tinggi telah menyertai pertandingan ini. Antaranya, USIM, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Darul Iman (UDM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Inisiatif melaksanakan dan membawa undang-undang syariah di dalam pertandingan MUT seperti ini adalah satu usaha unggul yang dapat memartabatkan disiplin pengajian undang-undang syariah di negara ini”, kata Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM mewakili Y.B Menteri Pengajian Tinggi Malaysia di Majlis Penutup pertandingan Mahkamah Mut Syariah Peringkat Kebangsaan 2009 di sini hari ini.

“Sudah tiba masanya program-program pengajian syariah melaksanakan kaedah MUT sebagai aktiviti rutin seperti yang dilakukan dalam pengajian undang-undang sivil memandangkan pendekatan ini bersesuaian dengan tradisi keilmuan dan kesarjanaan Islam yang berasaskan hujah dan dalil yang mantap”, tambah beliau lagi.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028