BANDAR ENSTEK – Barisan pentadbir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih beberapa pengiktirafan utama pada Majlis Anugerah Pentadbir Gemilang Universiti Awam Malaysia (MAGMA) 2026 sempena Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia 2026 (HPUA 2026) yang berlangsung pada 20 hingga 22 Ogos di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM, Bandar Enstek.
Pencapaian tersebut melibatkan pengiktirafan kepada Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM (PRAGMATIS), individu serta pembentangan amalan terbaik, sekali gus mencerminkan keupayaan pentadbir USIM dalam aspek kepimpinan, profesionalisme, inovasi dan tadbir urus.
PRAGMATIS meraih Anugerah Persatuan Unggul (Emas) dan Anugerah Program Unggul (Emas), sekali gus mencipta sejarah sebagai satu-satunya persatuan pentadbir universiti awam yang pernah memperoleh anugerah emas bagi kedua-dua kategori berkenaan dalam sejarah Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).
Dalam kategori individu, Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi, Pegawai Tadbir merangkap Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI), dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pentadbir. Puan Nur Zahidah Zulkefli, Pegawai Undang-Undang pula menerima Anugerah Pentadbir Gemilang (Anugerah Khas Juri), melengkapkan pencapaian USIM dalam kategori utama anugerah tersebut.
Presiden PRAGMATIS, Dr. Mohd Helmi Masor @ Mansor berkata pencapaian berkenaan membuktikan kewibawaan dan kredibiliti bakat pentadbiran USIM di peringkat nasional.
“Integrasi ilmu bukan lagi sekadar slogan, tetapi merupakan sistem nilai yang memacu integriti, kepakaran profesional, serta akauntabiliti tadbir urus. Dengan acuan ini, pentadbir USIM berjaya menampilkan keterampilan sebagai ‘Muslim Profesional’ sebenar yang cekap mengemudi aspek fizikal organisasi dan pada masa sama, teliti memelihara spiritualiti,” katanya.
Beliau berkata pengiktirafan tersebut akan terus menjadi pemacu kepada usaha melahirkan lebih banyak inovasi, penganjuran program berimpak serta tadbir urus berprestasi tinggi di universiti.
Selain kejayaan dalam MAGMA 2026, pentadbir USIM turut menyerlah dalam Konvensyen Pentadbir 2026 menerusi pembentangan amalan terbaik yang menerima penarafan Emas dan Perak.
Dua pembentangan oleh Dr. Mohd Helmi Masor @ Mansor dan Puan Nurfarhana Sulaiman menerima penarafan Emas, manakala empat lagi pembentangan oleh Dr. Hafizah Marzuki, Puan Siti Norfaza Abdul Halit, Jabatan Undang-Undang (JUU) dan Pusat Kemajuan Profesional dan Pendidikan Berterusan (PACE) menerima penarafan Perak.
HPUA 2026 yang mengangkat tema “Menyulam Aspirasi Menjulang Profesionalisme Pentadbir” menjadi platform untuk meningkatkan daya saing pentadbir universiti awam, memperkukuh jaringan kolaborasi strategik serta mengetengahkan amalan terbaik dalam pengurusan universiti bagi menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi semasa.
Penganjuran selama tiga hari itu turut menghimpunkan pelbagai pengisian berkaitan pembangunan profesional pentadbir termasuk perkongsian kertas kerja amalan terbaik, pameran inovasi dan forum pentadbir.
Sebagai sebahagian daripada HPUA 2026, Program Tanggungjawab Sosial VCORE 2026 bertemakan “Tadabur Alam” turut dilaksanakan di USIM, memperluas penglibatan pentadbir universiti awam kepada aspek khidmat masyarakat dan tanggungjawab sosial.
Pengiktirafan yang diraih bukan sahaja memperkukuh kedudukan pentadbir USIM dalam jaringan profesional universiti awam, malah mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam membangunkan bakat pentadbiran yang kompeten, berintegriti dan mampu menyumbang kepada tadbir urus institusi yang lebih berkesan.
Oleh: Nur Zahidah Zulkefli


